Anggota polis cedera ditumbuk ketika bertugas

BUTTERWORTH, 17 Feb -- Seorang anggota polis mengalami keretakan tulang hidung selepas ditumbuk seorang lelaki yang cuba melarikan diri daripada ditahan dalam kejadian di Jalan Raja Uda, di sini dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari Sabtu itu, anggota polis berpangkat konstabel dari Balai Polis Butterworth yang sedang menjalankan tugas ronda cegah jenayah telah ternampak sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan.

"Namun, pemandu berusia 42 tahun itu terus memecut laju sebelum anggota polis tersebut berjaya menahannya di Jalan Raja Uda dan semasa pemeriksaan tubuh badan dijalankan, lelaki tersebut bertindak agresif dengan menumbuk muka anggota polis itu sehingga mengakibatkan bengkak di bahagian hidung. 

"Suspek juga bertindak memaki hamun anggota polis tersebut dan merampas kunci keretanya dari pihak polis malah cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan sebelum suspek berjaya ditahan. Pemeriksaan lanjut polis menemukan serta merampas satu paket plastik lutsinar yang di dalamnya disyaki dadah," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. 

Anggota polis berusia 22 tahun itu dan suspek yang turut mengalami sedikit kecederaan luka di pipi dan dahi sebelah kiri, dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan. 

Noorzainy berkata ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah dan dia juga mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah serta jenayah.

"Lelaki yang bekerja sendiri itu kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan," katanya.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel