Anjung Sayang mohon sokongan orang ramai

KUCHING, 10 Feb: Seramai 135 pesakit kanser payu dara telah mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) di bandar raya ini sepanjang tahun lepas.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata demikian dan mengakui jumlah pesakit terbabit semakin meningkat setiap tahun.

"Kebanyakkan mendapatkan rawatan di HUS terbabit sudah diperingkat akhir kanser itu dan jumlahnya pesakit kanser payu dara di negeri ini memang semakin meningkat setiap tahun serta kesedaran mengenainya perlu ditingkatkan,"katanya ketika mengadakan sidang media Mermaid Pink Run 2020 di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Fatimah bagaimanapun tiada butiran jumlah pesakit terbabit dua tahun lepas dan tahun sebelumnya tetapi mereka kebiasaanya diberikan rawatan kimoterapi dan radioterapi di HUS yang ada mengambil masa sehingga tiga bulan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai membantu Kumpulan Sokongan Kanser Payu Dara Sarawak (SBCSG) yang bakal menganjurkan acara larian beramai-ramai Mermaid Pink Run 2020 bagi menjana kewangan membiayai aktiviti kumpulan itu iaitu mengendalikan Anjung Sayang dan kempen kesedaran kanser payu dara di negeri ini.

Fatimah berkata ketika ini kumpulan pertubuhan bukan kerajaan terbabit mengunakan dua kontena dijadikan premis Anjung Sayang dengan kos RM100,000 dan boleh menerima seramai tiga keluarga pesakit kanser sekaligus yang memerlukan kediaman sementara ketika pesakit mendapatkan rawatan di HUS.

Anjung Sayang terletak di Lorong Maxwell, Jalan Tun Abang Haji Openg, di sini, hanya 10 minit berjalan kaki dari HUS dan telah dibuka sejak November tahun lepas serta boleh didiami keluarga pesakit kanser payu dara secara percuma sepanjang tempoh rawatan.

"Sejak tiga bulan lepas, seramai empat keluarga pesakit dari luar Kuching telah mendiami Anjung Sayang dan ketika ini menerima banyak tempahan dari keluarga pesakit dari luar bandar samada Belaga, Bintulu, Limbang dan Sri Aman,"katanya.

Sementara itu, mengenai Mermaid Pink Run 2020, kumpulan terbabit mensasarkan menjana sebanyak RM50,000 melalui larian itu yang akan diadakan di Majlis Bandaraya Kuching Selatan, 29 Mac depan dan Miri Times Square di Miri, 19 April depan.

SBCSG juga mensasarkan seramai 2,000 orang di Kuching dan 1,000 orang di Miri akan menyertai larian itu yang bayaran pendaftarannya RM50 bagi peserta individu dan RM45 bagi peserta berkumpulan seramai empat orang untuk larian sejauh 3 kilometer (km) atau 6 km.

Setiap peserta mendaftar akan memperolehi baju larian serta pingat bagi yang menghabiskan larian dengan tarikh tutup pendaftaran ialah 28 Febuari depan serta pendaftaran atas talian di WWW.malaysiarunner.com atau menghubungi Revrun 082-459397, Yahya (013-8210401), Audrey(016-8607555) dan Jessica (106-8895095).
tamat

keterangan gambar:

1. Datuk Sri Fatimah Abdullah bersama Kumpulan Sokongan Kanser Payu Dara Sarawak mengadakan sidang media mengenai di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini, hari ini.
LihatTutupKomentar
Cancel