Azmin bertegas mahu Tun M kekal PM

KUALA SELANGOR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau tetap dengan pendiriannya berhubung tempoh perkhidmatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

“Saya sudah sebut sebelum ini, saya kekal dengan pendirian sedia ada,” katanya ringkas mengulas isu yang mengaitkan nama beliau dengan dakwaan menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal.

Kelmarin, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengulangi pendirian untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan negara bukannya SD.

Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 138 Ahli Parlimen dikatakan menandatangani SD bagi menyokong supaya Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal pentadbiran kerajaan semasa.

Dilaporkan SD itu membabitkan 18 Ahli Parlimen PAS, 26 Ahli Parlimen PKR, sekurang-kurangnya 13 daripada 39 Ahli Parlimen UMNO dan 26 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Tahun lalu, Mohamed Azmin antara yang lantang mahu Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga selesai tempoh penggal kerana itu mandat diberikan rakyat.

Beliau dilaporkan berkata, mereka yang ghairah mahu mengambil alih kuasa awal dari lima tahun sebagai cubaan menubuhkan kerajaan pintu belakang.

Sementara itu, mengulas mengenai isu peralihan kuasa akan dimuktamad dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, Azmin berkata, beliau tidak pasti agenda mesyuarat itu.

Sambil menyatakan mesyuarat itu sebagai satu yang biasa, katanya beliau akan hadir tetapi masih tidak tahu apa agenda mesyuarat itu.

“Ini mesyuarat bulanan, yang mana kita akan jumpa setiap bulan,” katanya.

Ditanya kemungkinan akan dibincangkan mengenai tempoh perkhidmatan Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berikutan perbincangan peralihan kuasa, katanya, beliau juga tidak pasti sama ada perkara itu akan dibincangkan atau tidak.

“Tidak mengapa...nanti kita bincang. Namun, saya tidak pasti akan bincang atau tidak Jumaat ini,” katanya.

Khamis lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan isu peralihan kuasa akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH pada Jumaat ini (21 Februari ini).
LihatTutupKomentar
Cancel