China tolak spekulasi virus dari makmal tentera

KUALA LUMPUR: Kerajaan China menolak spekulasi yang mendakwa novel coronavirus atau 2019nCoV berasal dari makmal ketenteraan atau juga sebahagian daripada penyelidikan senjata biologi.

Duta China ke Amerika Syarikat, Cui Tiankai berkata kerajaan China memberi amaran kepada mana-mana pihak yang membuat spekulasi seperti itu.

"Memang benar masih banyak kebenaran tentang virus ini belum diketahui. Saintis China, Amerika Syarikat dan saintis lain di seluruh dunia sedang mengkaji untuk mencari maklumat tentang virus ini, "kata Tiankai ketika muncul dalam program Face the Nation di saluran CBS, lapor agensi berita BLOOMBERG.

Tuduhan ini sangat menyakitkan, bahaya kerana membangkitkan syak wasangka dan menimbulkan khabar angin.

Spekulasi ini bukan saja boleh menimbulkan panik tapi juga boleh meniupkan isu diskriminasi kaum atau xenophobia, jelas Tiankai.

Tiankai dikatakan merujuk kepada Senator Arkansas dari Republican, Tom Cotton menerusi twitter bulan lalu mendakwa bandar Wuhan, pusat wabak itu berlaku, mempunyai satu-satunya makmal yang mengendalikan patogen bahaya yang membawa maut termasuk coronavirus.

WHO ketuai misi antarabangsa ke China

Dalam perkembangan lain, WHO mengakui badan antarabangsa itu sangat mengambil berat laporan bahawa jangkitan #2019nCoV telah berlaku kepada individu yang tidak pernah ke China (jangkitan dari manusia ke manusia).

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom berkata pengesanan beberapa kes itu adalah gambaran bahawa jangkitan itu telah banyak merebak ke negara lain.

Beliau meminta semua negara bersiap sedia bagi menghadapi situasi itu.

WHO juga mengetuai misi antarabangsa yang disertai sekumpulan pakar ke Beijing bagi membantu kerajaan China menyiasat tentang virus itu.

China telah membelanjakan 31.55 bilion yuan daripada 71.85 bilion yuan yang diperuntukkan bagi melawan wabak itu.
LihatTutupKomentar
Cancel