Covid-19: Angka korban di China meningkat lebih 2,000
BEIJING, 19 Feb -- Angka korban akibat COVID-19 di China meningkat kepada 2,005 orang, kata Suruhanjaya Kesihatan Negara pada Rabu.
Menurut agensi berita Anadolu, pihak berkuasa mengatakan dalam tempoh 24 jam lalu sebanyak 74,185 kes disahkan manakala 136 orang meninggal dunia.
Seramai 11,977 lagi yang dijangkiti berada dalam keadaan kritikal.
Jumlah mereka di bawah pemantauan perubatan menurun kepada 135,881, manakala bilangan pesakit dibenarkan pulang meningkat kepada 14,376.
Di luar tanah besar China, jumlah mereka yang dikesan dengan virus itu seramai 62 orang di Hong Kong dan 10 di Macau.
Novel koronavirus, kini dikenali COVID-19, dikatakan merebak kepada manusia daripada haiwan, terutama kelawar.
Virus itu merebak ke lebih 20 negara lain termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, Perancis, Rusia, Sepanyol dan India.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak itu sebagai darurat kesihatan global.
-- Bernama