Dadah bernilai RM69,780 dirampas di Miri


MIRI: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak merampas dadah Syabu seberat 1,122.43 gram bernilai RM69,780 dan dua biji Erimin 5 bernilai RM30 dengan penangkapan empat individu di Miri, Sabtu lalu.

Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Hasnir Abdul Hamid berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang sudah berkahwin dari Kampung Pemindahan, Marudi di tepi pondok pengawal dan seorang wanita dari Ho Chi Minh berusia 24 tahun di pintu keluar masuk lif sebuah kondominium di Jalan Riam, Kampung Lopeng Tengah sekitar jam 11.50 pagi.


 "Pasukan serbuan telah dibawa oleh kedua-dua suspek ke sebuah rumah di kondominium berkenaan dan menahan seorang lagi wanita berusia 25 tahun, juga dari Ho Chi Minh.

"Suspek keempat berusia 39 tahun, juga sudah berkahwin dari Taman Desa Senadin ditangkap ketika berada di dalam kereta di tempat letak kenderaan kondominium sama,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, turut disita ialah  harta seperti satu rantai emas, satu loket berbingkai emas, dua bentuk cincin, wang tunai Ringgit Malaysia dan Dollar Brunei berjumlah RM23,427, sebuah kereta Mercedes Benz S280 dan sebuah kereta Proton, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM109,000.

"Semua suspek turut didapati positif dadah telah direman selama lima hari,"ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
LihatTutupKomentar
Cancel