DAP tidak faham kewarganegaraan dan taat setia, Dr Sim
KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mempersoalkan agenda sebenar DAP Sarawak yang tidak dapat menerima keputusan Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai ADUN Pujut.
Presiden parti, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, tindakan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen membandingkan status pemastautin tetap (PR) beliau dengan kewarganegaraan Australia Dr Ting dilihat satu percubaan untuk mengelirukan rakyat.
“Adakah Chong cuba menyampaikan maksud untuk membenarkan rakyat bukan Sarawak berkhidmat di Dewan Undangan Sarawak?.”
“Saya tertanya-tanya sama ada terdapat agenda tersembunyi dalam kem Pakatan Harapan (PH) menggunakan DAP Sarawak untuk membuka jalan kepada individu bukan rakyat Sarawak mewakili kita, bukan untuk kepentingan kita namun untuk cita-cita serta kerakusan politik mereka yang tidak habis-habis,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau membidas kenyataan Chong yang membandingkan status PR beliau dengan kewarganegaraan Australia Dr Ting semasa sidang media di Ibu Pejabat DAP Miri semalam.
Kelayakan Dr Ting sebagai ADUN Pujut terbatal berikutan status kewarganegaran Australia yang dimilikinya.
Dr Ting menambah, walaupun berada 17 tahun di Australia namun beliau tidak pernah memohon kerakyatan Australia, sebaliknya hanya memegang status penduduk tetap negara itu.
“Saya tidak pernah menjalankan hak sebagai warganegara atau membuat ikrar taat setia kepada negara lain selain Malaysia atau Sarawak.”
“Sebaik sahaja menamatkan latihan sebagai pakar kardiologi di Melbourne, saya pulang ke Sarawak untuk berkhidmat di hospital awam sebelum dipilih sebagai ADUN Batu Kawa,” kata Dr Sim.
Katanya, ini berbeza dengan Dr Ting yang memilih untuk berkhidmat di Australia selepas menamatkan pengajian perubatan dan mendapat kerakyatan di sana,
“Dengan memohon kewarganegaran Australia, Dr Ting telah berikrar setia kepada negara itu. Namun pemegang PR tidak perlu berbuat demikian,” katanya.