Dr Ting hilang kelayakan sebagai Adun
KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon dari DAP sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Kuching untuk mengembalikan kerusi kepada Ting, dalam keputusan majoriti tujuh berbanding dua.
Dalam perbicaraan ini, Ting diwakili oleh peguam bela Chong Siew Chiang, Tan Kee Heng, Wong King Wei dan Michael Kong.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak diwakili Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid, Mohd Adzrul Adzlan dan Evyliana Atang manakala Jonathan Tay mewakili Dato Sri Wong Soon Koh dan Suruhanjaya Pilihanraya diwakili Shamsul Bahrain.
Perbicaraan diadili oleh panel hakim terdiri Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, Hakim Besar Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah, Hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh, Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanthan, Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat, Hakim Mahkamah Persekutuan Abdul Rahman Sebli, Hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Mohd Yusof dan Hakim Mahkamah Persekutuan Hasnah Dato Mohammed Hashim.
Kelayakan Dr Ting sebagai Adun Pujut dibatalkan pada 12 Mei 2017 selepas usul dibentangkan di DUN Sarawak kerana beliau didakwa mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Australia.
Dalam penghakiman hari ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan DUN mempunyai kuasa untuk membatalkan kelayakan Ting kerana beliau mempunyai dua kerakyatan meskipun melepaskan satu daripadanya sebelum bertanding dalam pilihan raya negeri yang lalu.
Pada pilihan raya negeri Sarawak 2016, Dr Ting memenangi pertandingan empat penjuru di DUN Pujut dengan majoriti 1,759 undi, menewaskan Hii King Chiong (BN), Jofri Jaraiee (PAS) dan Fong Pau Teck (Bebas).
Di sebalik keputusan mahkamah hari ini, pilihan raya kecil tidak akan diadakan kerana lebih tiga tahun sudah berlalu sejak pilihan raya negeri terakhir diadakan.