Dua pesakit COVID-19 pulih di UAE


ABU DHABI:  Kementerian Kesihatan dan Pencegahan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad mengumumkan dua pesakit COVID-19 dibenarkan keluar hospital selepas pulih sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan seramai tiga orang daripada lapan kes yang direkodkan.

Minggu lalu, kementerian itu mengumumkan seorang wanita Liu Yujia,73, dari China, menjadi pesakit pertama yang pulih sepenuhnya, lapor agensi berita Emiriah Arab Bersatu (WAM). 

Kedua-dua pesakit yang baharu pulih itu juga warga China, seorang lelaki berusia 41 tahun dan anak lelakinya berumur lapan tahun. 

Konsul Jeneral China ke UAE, Li Xuhang dan Ketua Peraturan Kesihatan Antarabangsa di kementerian Dr Fatima Al Attar turut melawat bapa dan anak lelakinya itu. 

Rakyat China mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada kepemimpinan UAE atas sokongan dan rawatan perubatan yang diberikan. 

Sementara itu, Dr Al Attar berkata bapa dan anak lelakinya dirawat di salah satu hospital terbaik di negara ini.

Dr Al Attar berkata kajian sekarang mendapati kadar pemulihan mungkin boleh mencapai sehingga 98 peratus.

Lima lagi pesakit masih dipantau secara berterusan, seorang daripadanya berada di unit rawatan rapi. 

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel