GPS setuju PDP ditamatkan, kata Chong


KUCHING: Bekas Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof sepatutnya meminta nasihat daripada kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terlebih dahulu sebelum melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung penamatan Perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP) Lebuhraya Pan Borneo.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen hari ini berkata kerajaan negeri pimpinan GPS telah memberikan persetujuan bagi penamatan perjanjian itu dan menggantikannya dengan kaedah konvensional yang dianggarkan bakal menelan belanja sebanyak RM18.8 bilion.

"Jika benar bahawa di bawah Perjanjian PDP, jumlah kos projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak hanyalah RM15.13 bilion seperti yang didakwa oleh Fadillah, mengapa kerajaan negeri GPS bersetuju dengan penamatan Perjanjian PDP tersebut," menurut Chong dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Fadillah semalam yang mempersoalkan pengumuman Lim bahawa kerajaan akan menjimatkan sebanyak RM3.1 bilion dengan mengurangkan kos projek lebuh raya itu menerusi pembatalan perjanjian tersebut.

Fadillah, yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, mendakwa bahawa kos siling sasaran asal projek itu ialah RM16.488 bilion, bukannya RM21.9 bilion seperti yang diumumkan Lim, dan PDP terbabit ketika itu komited untuk terus mengurangkan kos kepada RM15.13 bilion.


Chong berkata kerajaan negeri Sarawak diwakili Setiuasaha Kerajaan Negeri bersama-sama pengurusan tertinggi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah menandatangani penamatan perjanjian PDP itu manakala Kerajaan Persekutuan diwakili Kementerian Kewangan.

Rasional penamatan Perjanjian PDP itu adalah kerana ia akan mengurangkan kos pelaksanaan keseluruhan projek di Sarawak daripada anggaran sebanyak RM21.9 bilion kepada RM18.8 bilion, yang menyaksikan penjimatan sebanyak RM3.1 bilion bagi kerajaan. 

"Wang yang dijimatkan sebanyak RM3.1 bilion ini akan disalurkan semula kepada Sarawak bagi projek lain untuk manfaat Sarawak," katanya.

Di bawah perjanjian itu, beliau berkata PDP akan dibayar yuran sebanyak 5.5 peratus daripada keseluruhan kos projek, sebagai tambahan kepada semua perbelanjaan PDP yang dibayar balik sepenuhnya, termasuk gaji dan elaun pekerja serta perbelanjaan lain.

"Mengenai sebab mengapa Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini menandatangani Perjanjian PDP yang begitu mahal dan keterlaluan, Fadillah Yusof sebagai Menteri Kerja Raya ketika itu berhutang penjelasan kepada penduduk Sarawak dan rakyat Malaysia," katanya. - Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel