Jagalah maruah kita Dayak, netizen nasihati Willie


Willie Mongin sahkah keluar PKR, PH

Umum keputusan dalam Facebook, netizen beri pelbagai reaksi 


KUCHING : Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin hari ini mengesahkan sudah keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan muafakat Pakatan Harapan bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen bersama beberapa Ahli Parlimen parti itu yang lain.

Pengisytiharan keluar parti itu diumumkan oleh wakil rakyat itu menerusi mesej whatsapp yang dihantar kepada Gagodaily dan status sama turut dimuat naik di Facebook miliknya.

Dalam kenyataannya, Willie memohon maaf di atas keputusan yang dibuat dan ini isi kandungan sepenuhnya status yang ditulis itu :
“Saya mohon maaf kepada Pengundi Puncak Borneo yang mengundi saya, Kerajaan PH telah runtuh sebentar tadi kerana Parti Bersatu semua sudah keluar PH.


Saya mohon restu anda semua untuk mencari jalan terbaik untuk kita Bersama Demi Rakyat dan Negara. Khususnya anda semua Pengundi Puncak Borneo, saya tidak ada jalan melainkan jalan yang terbaik demi kemakmuran Dan kesejahteraan anda semua.


Willie Mongin

Ahli Parlimen Puncak Borneo”


Difahamkan, selain Willie terdapat beberapa lagi Ahli-Ahli Parlimen PKR meninggalkan parti dan kerajaan PH. Antaranya ialah Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian;  Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dato’ Kamaruddin Jaffar;  Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dato’ Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Dato’ Rashid Hasnon; Ahli Parlimen Segamat, Dato’ Seri Dr. Santhara Kumar; 
Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin.

Willie yang kini berada di Kuala Lumpur bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang keputusan keluar parti dan keadaan politik yang bergolak dalam PH.

Turut enggan mengulas lanjut ialah Ali Biju yang juga kini berada di ibu negara.

Tindakan Willie mengumumkan keluar parti mendapat reaksi berbeza daripada netizan yang menjadi pengikutnya. Ada yang menyokong, ada yang kecewa dan ada juga yang memberi nasihat membina.

Antaranya ialah seorang netizen menggunakan nama Wong Kwong Hua yang mengecam tindakan Ahli Parlimen itu dengan berkata, “Yang Bodoh kamu mengkhianati pengundi Puncak Borneo demi kekayaan poket sendiri,. Kamu sendiri Habis bukan pengundi Puncak Borneo Tidak Pernah Menyuruh Kamu berbuat demikian”.

Lim Dylime pula menasihatkan Willie dengan berkata, “Satu nasihat saya sebagai rakyat biasa Tuan Yb, saya sangat berharap Yb jgn Bersama pas dan umno, jagalah maruah kita Dayak, saya berharap Yb tabah menerima ujian ini, berdoalah pasti Tuhan buka jalan. Amen”.

Julian Rujim berkata, “I don’t really know what is happening Tuan YB Willie Mongin…but to use the “backdoor” dan befriend with corruptors to form a government is just a betrayal moves to all votes who voted with huge hope. Whatever it is, please uphold the highest integrity in your fights and bring good to all the people that gives you the trust. God be with you”.

Micheal Pawan Mike pula berkata, “Dlm politik tiada pengkhianatan tiada kawan dan tiada musuh, Cuma itu permainan saja. Yg penting served your rakyat dgn penuh jiwa dan rasa tanggungjawab. Mari minum kopi dolok YB’

Parlimen Puncak Borneo kini disandang Willie setelah memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-14 (PRN-14) Sarawak dengan mendapat 18,865 undi dengan majoriti 4,005 undi.

Untuk rekod, Parlimen Puncak  Borneo mempunyai 42,344 pengundi dan 65 peratus terdiri daripada bidayuh manakala pengundi Cina pula mewakili 27 peratus.  Selebihnya sekitar 8 peratus ialah bumiputera Islam.


LihatTutupKomentar
Cancel