Juruteknik didakwa perdaya urusan pelaburan padang futsal
MELAKA, 20 Feb -- Seorang juruteknik pendawaian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas 110 pertuduhan memperdaya seorang pembantu operasi di sebuah sekolah berjumlah RM543,850 bagi urusan pelaburan perniagaan padang futsal, tiga tahun lepas.
Mohd Narshidi Mohd Nor, 45, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan dua Majistret iaitu Mohamad Izwan Mohamed Noh dan Teoh Shu Yee pada prosiding yang berbeza.
Tertuduh didakwa memperdaya Izhar Tamby Hassan, 58, dalam urusan pelaburan perniagaan padang futsal yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang itu kepada tertuduh melalui 110 transaksi akaun bank.
Mohd Narshidi dituduh melakukan perbuatan itu di Public Bank di Ayer Keroh dan Jalan Laksamana di sini, di antara 15 Mac dengan 30 Julai 2017 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Majistret Mohamad Izwan membenarkan Mohd Narshidi diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi 29 pertuduhan, manakala Majistret Teoh membenarkan tertuduh diikat jamin RM146,400 dengan seorang penjamin bagi 81 pertuduhan.
Jumlah keseluruhan jaminan yang perlu dibayar oleh Mohd Narshidi yang merupakan bapa tiga anak itu bagi 110 pertuduhan ialah RM116,400.
Prosiding hampir tiga jam itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raudhah Mazman, Rohaiza Zainal dan Anis Najwa Nazari, manakala tertuduh diwakili peguam Kalvinder Kaur.
Mahkamah menetapkan 13 April depan untuk sebutan semula kes.
-- Bernama