Kadar pengangguran turun kepada 3.2 peratus suku keempat 2019
PUTRAJAYA, 7 Feb -- Kadar pengangguran mencatatkan angka penurunan kepada 3.2 peratus pada suku keempat 2019 berbanding 3.3 peratus pada suku sebelumnya, demikian menurut Laporan Survei Tenaga Buruh Malaysia Suku Keempat 2019.
Mengulas laporan itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah tenaga buruh dan penduduk bekerja masing-masing mencatatkan pertumbuhan 2.1 peratus dan 2.2 peratus kepada 15.77 juta orang dan 15.25 juta orang berbanding suku keempat 2018.
Katanya, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) naik 0.2 peratus kepada 69.1 peratus berbanding suku ketiga 2019.
"Pada suku keempat 2019, KPTB perempuan mencatatkan kenaikan 0.1 peratus kepada 56.1 peratus berbanding suku tahun sebelumnya.
"KPTB lelaki pula meningkat 0.2 peratus kepada 81.1 peratus berbanding suku tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Uzir berkata pada suku keempat 2019, penduduk bekerja kategori separuh mahir mendominasi pasaran buruh dengan 59 peratus diikuti dengan kategori mahir 27.6 peratus dan berkemahiran rendah 13.4 peratus.
Pada suku keempat 2019, katanya bilangan penduduk bekerja yang berpendidikan tertiari meningkat 3.5 peratus kepada 4.43 juta berbanding 4.28 juta pada suku keempat 2018.
Maklumat terperinci mengenai laporan itu boleh diakses melalui aplikasi eStatistik dalam laman sesawang Jabatan Perangkaan www.dosm.gov.my.
-- Bernama
Gambar kredit Facebook Jabatan perangkaan Malaysia