Kanak-kanak perempuan cedera didera ibu tiri
BUKIT MERTAJAM, 9 Feb -- Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun mengalami kecederaan luka dan lebam di muka serta badan, dipercayai dipukul ibu tirinya walaupun hanya melakukan kesalahan kecil di rumah mereka di Flat Ampang Jajar, di sini.
Kanak-kanak perempuan yang tidak bersekolah itu diselamatkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selepas menerima aduan daripada jiran-jiran mangsa, yang sering mendengarnya menangis dan mukanya bengkak dipercayai didera.
Presiden Malaysian Tamilar Kural David Marshel berkata NGO itu menerima maklumat berhubung mangsa pada 12.30 tengah hari ini sebelum mereka memaklumkan kepada pihak polis, dan terus ke rumah keluarga kanak-kanak berkenaan untuk melihat keadaan mangsa.
"Sebaik sampai di rumah itu, bapa kandung dan ibu tiri mangsa menghalang kami masuk dan memberi amaran supaya kami tidak masuk campur dalam urusan keluarga mereka, namun mereka akur selepas anggota polis mahu melakukan pemeriksaan di dalam rumah berkenaan.
"Kami mendapati keadaan kanak-kanak perempuan itu agak teruk dengan bengkak di tangan, badan serta muka, malah matanya tidak boleh buka. Dia dipercayai didera dan kami terus membawanya ke hospital serta membuat laporan polis," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis, di sini hari ini.
David berkata semasa di rumah, kanak-kanak perempuan itu memberitahu matanya bengkak kerana digigit serangga, namun ketika di dalam kereta semasa hendak ke hospital mangsa mengaku didera, dan dia terpaksa memberitahu sedemikian kerana ibu tirinya telah memberi amaran akan memukulnya, jika bercakap hal sebenar.
Katanya, menurut kanak-kanak perempuan itu, dia akan dipukul serta dimarahi, jika lapan adik-adiknya termasuk tujuh adik tirinya buat bising, nakal atau terjatuh tanpa sebab, malah ayahnya yang tinggal bersama tidak dapat buat apa-apa untuk menghalang wanita tersebut, memukul anak sulungnya itu.
Beliau berkata kanak-kanak perempuan itu dalam keadaan trauma dan ketakutan, serta berharap tidak dihantar pulang ke rumah berkenaan semula, kerana takut didera ibu tirinya lagi selepas ini.
"Ibu kandung kanak-kanak itu sedang menjalani hukuman di penjara sekarang ini, saya harap polis ambil tindakan segera ke atas ibu tiri mangsa, kerana terdapat lapan lagi kanak-kanak masih kecil bersamanya, jadi kami bimbang mereka turut didera," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan mangsa kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya untuk pemeriksaan lanjut, termasuk X-ray serta ct scan di bahagian kepalanya.
Katanya siasatan mendapati ibu tiri mangsa memukul mangsa menggunakan helmet, kayu serta penyangkut baju dan wanita berusia 38 tahun itu serta suaminya, 36, ditahan untuk membantu siasatan kes berkenaan.
"Doktor mengesahkan kanak-kanak perempuan itu mengalami beberapa kecederaan luka baru dan lama termasuk lebam di muka, mata, tangan, lengan dan badan. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.
-- Bernama