Kebakaran terbuka di Miri
MIRI: Pembakaran terbuka dikesan berhampiran di kawasan tadahan rawatan air LAKU, Lambir di sini.
Tular gambar diambil penumpang dalam kapal terbang ketika sedang mendarat di Lapangan Terbang Miri.
Berdasarkan pemerhatian kebakaran turut melibatkan kawasan belakang EASTWOOD Valley Resort.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada tahun lalu meluluskan Rang Undang-Undang Sumber Asli dan Alam Sekitar (Pindaan) 2019 selepas mendapat persetujuan sebulat suara ahli Dewan.
RUU itu bertujuan memperluaskan undang-undang berkaitan pembakaran terbuka dan meningkatkan hukuman bagi kesalahan berkaitan alam sekitar untuk mengatasi masalah jerebu di negeri ini disumbang oleh pembakaran terbuka.
Di bawah RUU itu, hukuman bagi kesalahan pembakaran terbuka dinaikkan dari RM20,000 atau/dan penjara tiga tahun kepada RM100,000 atau/dan penjara lima tahun.
Manakala bagi kesalahan seterusnya, pesalah akan dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 sehari.
Sebagai tambahan, denda RM100,000 atau/dan penjara lima tahun dikenakan bagi kesalahan pembakaran terbuka atau memusnahkan tumbuh-tumbuhan tanpa kebenaran bertulis daripada kontroler NREB.