Keputusan bubar atau Dewan Rakyat pilih PM ditentukan hari ini
KUALA LUMPUR: Kemelut sebenar politik dijangka diketahui petang ini. Ia bakal diputuskan selepas Majlis Raja-raja Melayu dijadual mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara, petang ini.
Difahamkan antara inti pati mesyuarat ialah berhubung situasi politik terkini di negara ini, termasuk kemungkinan yang sedang dalam pertimbangan Raja-raja Melayu terutama sekali Yang di-Pertuan Agong, antaranya termasuk meneruskan kerajaan baharu, serta pembubaran Dewan Rakyat.
Astro Awani melaporkan, Mesyuarat Memetik Majlis Raja-raja Melayu dijadual mengadakan mesyuarat khas disahkan oleh sumber dalaman Istana Selangor.
Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan Dewan Rakyat bukanlah forum untuk melantik Perdana Menteri seperti yang dicadangkan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya, penyelesaian kepada kemelut politik ini mestilah selari dengan keluhuran perlembagaan negara.
“Telah tiba masanya kita menyerahkan kepada kearifan Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan sebagai memberikan jalan keluar dan melakukan yang terbaik untuk Malaysia.
“Semua pihak harus menghormati kearifan Yang di-Pertuan Agong dan tidak mendahului Seri Paduka dalam apa jua keadaan pun,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Dr Mahathir berkata, satu persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan Isnin ini bagi menentukan calon Perdana Menteri selepas pertemuan semua ahli Parlimen dengan Yang di-Pertuan Agong gagal menemui calon yang mempunyai majoriti mudah.
Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketetapan itu dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong tidak memperoleh pendirian majoriti selepas Baginda menemu bual semua ahli Parlimen berkenaan secara individu.
Menurutnya, Baginda berpendapat Dewan Rakyat adalah forum terbaik mendapat keputusan.
“Jika Dewan Rakyat gagal mendapatkan seseorang yang ada sokongan majoriti, maka kita perlu melalui pilihan raya,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Putrajaya, semalam.
Dalam sidang media sama, Dr Mahathir memaklumkan beliau turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.
Menurutnya, beliau bersetuju sekiranya Muhyiddin dipilih dan menerima sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri daripada ahli Dewan Rakyat.
“Jika dia (Muhyiddin) mendapat majoriti (sokongan) di Parlimen, dia boleh dilantik, mengangkat sumpah dan membentuk Kabinet.
“Saya tidak akan terima Umno namun terima bekas ahlinya. Tan Sri Muhyiddin agak terbuka (untuk terima Umno),” katanya.
Dalam perkembangan terkini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas bertegas mahu Parlimen dibubarkan dan kuasa memilih kerajaan diserahkan kembali kepada rakyat melalui pilihan raya umum sebagai jalan penyelesaian kemelut politik negara.
Abdul Hadi berkata, parti itu juga tidak lagi menyokong Dr Mahathir kerana Perdana Menteri Interim itu sudah hilang sokongan Pakatan Harapan (PH) dan UMNO.
Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi gambaran kabur sama ada akan mempertimbangkan semula atau tidak kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila Dr Mahathir menerima semula jawatan sebagai Pengerusi parti itu hari ini.
Anwar mempengerusikan Mesyuarat PH di Hotel Eastin di Petaling Jaya, semalam.
Beliau berkata, perkara itu tidak berbangkit di dalam mesyuarat, namun sebarang kemungkinan boleh berlaku.
"Kami (PH) berubah dari sehari ke sehari. Malah, tidak timbul soal keperluan untuk bertemu Dr Mahathir bagi membincangkan perkara itu," katanya.
Kemelut politik negara bermula Ahad lalu apabila beberapa parti politik dinamakan Perikatan Nasional dianggotai Bersatu, Pas, serpihan PKR, Umno, Warisan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mula berkumpul di beberapa hotel terkemuka seperti Hotel Sheraton Petaling Jaya dan Hotel Ritz Carlton (Kuala Lumpur) manakala Bersatu di Menara Yayasan Selangor dalam usaha menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Susulan gerakan yang tidak dipersetujui Dr Mahathir itu, beliau mengumumkan tindakan mengejutkan dengan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri disusuli Pengerusi Bersatu.
Namun, Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Interim sehingga perdana menteri baharu mengangkat sumpah.
Bagi merungkai krisis yang berlaku, Al-Sultan Abdullah turut memanggil semua ahli Parlimen untuk ditemu bual untuk mendengar sokongan kepada mana-mana individu bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik.
sumber rujukan Sinar Harian, BH, Metro