Kes curi siber naik 9.5 peratus

KUALA LUMPUR: Jenayah siber didapati berleluasa pada suku terakhir 2019 apabila Kaspersky mengesan peningkatan sebanyak 9.5 peratus hanya bagi pencurian maklumat penting (phishing) kewangan, malah spam dan aktiviti scam turut meningkat dari segi jumlah dan jenisnya.

Syarikat keselamatan siber di peringkat global itu berkata pencurian maklumat penting merupakan cara berkesan memperdayakan pengguna yang terdesak untuk mendapatkan tawaran menarik menjelang percutian sehingga mendedahkan data peribadi dan akuan kad kredit kepada penjenayah siber.

Jelasnya pembelian secara tergesa-gesa ketika jualan Black Friday, Cyber Monday dan pra-Krismas, bukan sahaja meningkatkan pertumbuhan jualan, namun, aktiviti siber yang berniat jahat juga turut meningkat.

Syarikat itu mendapati jenama popular digunakan sebagai umpan, misalnya laman web Amazon yang dipalsukan, telah menawarkan promosi Krismas kepada pengguna. Oleh itu, penjenayah boleh mencuri akuan Amazon Prime pengguna.

“Musim percutian adalah waktu pembelian yang mengikut gerak hati dan membuat keputusan yang terburu-buru,” menurut Penganalisis Keselamatan Kaspersky Tatyana Sidorina dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata desakan untuk mendapat urus niaga yang baik atau membeli hadiah berkemungkinan menunjukkan bahawa pengguna merasa bingung, sekali gus memudahkan penjenayah siber untuk mengambil kesempatan.

“Sudah tentu, ini tidak bermaksud sesiapa sahaja perlu mengelak daripada membeli belah menjelang percutian ini -- pengguna hanya perlu memberi lebih perhatian terhadap pembayaran kad kredit mereka.

“Ada kemungkinan bahawa caj langganan atau penangguhan hadiah kepada rakan-rakan atau keluarga boleh bertukar menjadi penipuan kerana penjenayah selalunya tidak menggunakan data yang dicuri dengan serta merta,” kata Sidorina.

Analisis Kaspersky itu juga menunjukkan sedikit peningkatan dalam emel spam semasa musim percutian, namun, membabitkan pelbagai topik penting.

Rancangan penjenayah adalah berbeza daripada pemberian Christmas yang dijanjikan untuk menipu, dengan percubaan untuk mencuri mata wang kripto atau emel berniat jahat yang dihantar kepada organisasi seperti pesanan penting Krismas yang palsu.

Scam dan emel spam mengenai percutian tidak hanya terhad semasa tempoh perayaan Krismas. Pengguna di Asia Tenggara juga menerima ‘tawaran hadiah’ tipikal, yang dikaitkan dengan Tahun Baharu Lunar.

Bagi mengelakkan daripada terperangkap dalam pencurian maklumat penting dan spam, Kaspersky menasihatkan pengguna supaya mengakses urus niaga secara terus ke laman web yang sah atau menerusi pasaran rasmi.

Ia turut mengingatkan pengguna supaya menggunakan penyelesaian keselamatan yang dilengkapi teknologi anti pencurian maklumat penting berpandukan kelakuan.

Kaspersky turut menekankan kepentingan supaya tidak sekali-kali menggunakan kata laluan yang sama untuk beberapa laman web atau perkhidmatan kerana sekiranya dicuri, semua akaun akan mudah diserang.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel