Kes Sajat hanya isu kecil - Mujahid


KUALA LUMPUR: Kes pengusaha kosmetik, Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau dikenali Sajat yang mengerjakan umrah dengan mengenakan telekung hanya satu isu kecil.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof enggan mengulas lanjut ketika ditanya apa tindakan yang akan diambil terhadap Sajat.

“Isu Sajat ini sudah jadi isu kecil…tiada (komen),” katanya kepada pemberita selepas Forum Kepercayaan Dalam Komanwel di Insitut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Taman Duta dipetik Malaysia Gazette semalam.

Pada 2 Februari lalu, tular gambar Sajat bersama keluarga dan dua rakannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke tanah suci Mekah bagi mengerjakan ibadat umrah.

Sajat bersama dua rakannya kelihatan mengenakan jubah lelaki sebelum berangkat, bagaimanapun sebaik sahaja berada di Makkah, beliau menukar penampilannya sebagai jemaah wanita yang lengkap bertelekung.

Sebelum ini, Mujahid turut melahirkan rasa kecewanya dengan tindakan Sajat dan rakan-rakannya yang telah mencemar imej Islam dan hubungan baik Malaysia dengan Arab Saudi. '

Dalam pada itu, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan memandang serius terhadap sebarang isu melibat umat Islam termasuk dalam isu Sajat baru-baru ini.

Menurut satu kenyataan pejabat menterinya, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa, isu melibatkan Sajat di Tanah Suci tidak terkecuali.

“Bagi isu melibatkan Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, sebarang tindakan yang hendak diambil perlu memenuhi tiga aspek iaitu ia perlu mengurangkan kerisauan orang ramai, kandungan yang dimuatnaik di media sosial perlu diteliti dan perlu memastikan dia menghormati landasan dan syariat Islam di negara ini,” katanya.

Menurutnya, sebarang tindakan yang akan diambil perlu memenuhi aspek berkenaan supaya pengajaran dapat diberikan sewajarnya.

Kenyataan Mujahid yang dilaporkan oleh media semalam bahawa kes Sajat itu kecil bukan bermakna pihaknya tidak akan melakukan sebarang tindakan terhadap Sajat.
LihatTutupKomentar
Cancel