Lemang kulit pisang laku
KUCHING, 7 Feb: Dalam tempoh semingggu lemang kulit pisang cukup laris sehingga mampu memberikan pendapatan melebihi RM1,000 seminggu kepada penjual dan juga pencipta resepinya Mohd Saiful Bahari Rosli, 43 dari Kampung Tupong Tengah, Petra Jaya.
Beliau telah mencipta resepi lemang kulit pisang terbabit bagi berikutan kesukaran mendapatkan bekalan batang buluh disamping harga buluh yang semakin mahal di bandar raya ini.
"Setakat ini ramai pelanggan memberitahu saya yang rasa lemang kulit pisang ciptaan saya ini lebih enak dari lemang buluh biasa. Lemang ini juga lebih mudah dibuka kulitnya dan dipotong mereka berbanding lemang buluh,"katanya ketika membuka gerai di Program Jualan My Best Buy anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sempena perlumbaan basikal Le Tour De Langkawi 2020 di Padang Merdeka, di sini, malam tadi.
Saiful berkata malahan lemang kulit pisang terbabit juga lebih tahan lama dan mudah disimpan dalam peti sejuk serta pelanggan boleh memanaskannya dengan mudah mengunakan mikrowave.
"Saya menamakan resepi lemang kulit pisang ciptaan saya ini sebagai Lemang Saiful Betawi. Resepi lemang ini asalnya dari lemang buluh pendek yang diwarisi keturunan keluarga saya dari Samarahan,"katanya.
Bagi mempromosikan resepi lemang ciptaanya itu, beliau menyediakan sekitar 300 batang lemang terbabit di Program Jualan My Best Buy terbabit dan menjualnya pada harga promosi RM10 bagi dua batang.
Siaful berkata lemang kulit pisang terbabit kebiasaanya dijualnya di pasar minggu Medan Niaga Satok pada harga RM6 sebatang dan sudah mengkomersilkan resepi terbabit sejak lima tahun lepas.
"Ketika mula menjual lemang ini dahulu di pasar minggu sekitar bandar raya ini, sebanyak 20 batang pun susah dijual sehingga saya mahu menangis, kini dimana sahaja di Kuching sambutan tetap ada kerana lemang ini sudah cukup dikenali,"katanya yang sudah 10 tahun menjadi penjual lemang.
tamat
keterangan gambar:
1. Mohd Saiful Bahari Rosli, 43 menunjukkan lemang kulit pisang ciptaanya yang dijualnya pada harga promosi RM10 dua batang di Program Jualan My Best Buy di Padanf Merdeka.
2. Mohd Saiful Bahari Rosli, 43 menunjukkan isi lemang kulit pisang ciptaanya.
3. Sebahagian dari 300 batang lemang yang dijual Mohd Saiful Bahari Rosli, 43 di Program Jualan My Best Buy.
4. Gerai jualan Lemang Saiful Betawi yang dibuka Mohd Saiful Bahari Rosli, 43 di Program Jualan My Best Buy.