LKTN rampas 2.2 tan tembakau awet
KOTA BHARU, 9 Feb -- Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 2.2 tan tembakau yang telah diawet bernilai RM60,000 dalam satu operasi di Alor Pasir, Tanah Merah, Selasa lalu.
Ketua Pengarah LKTN, Samsudin Noor, berkata, rampasan itu dilakukan hasil pemantauan ke atas dua van yang dikesan berada di sekitar laluan di sempadan Malaysia-Thailand di Pasir Mas pada jam 1.30 pagi, sebelum kedua-dua van berkenaan ditinggalkan di tepi jalan di Alor Pasir selepas pemandu van menyedari mereka diekori anggota penguatkuasa.
"Hasil pemeriksaan menemukan 151 bungkusan mengandungi tembakau yang telah diawet di dalam dua kenderaan itu," katanya pada sidang media di Pejabat LKTN, di sini, hari ini.
Beliau berkata berkata kesemua tembakau yang dirampas adalah daripada jenis Tembakau Awetan Matahari dan Tembakau Awetan Pemanas yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
Beliau berkata tembakau yang dirampas itu dipercayai bukan untuk dibekalkan kepada syarikat yang berdaftar dalam industri pembuatan rokok atau tembakau jawa, sebaliknya untuk kegunaan dalam industri tembakau yang lain.
Samsudin berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 52 (1) Akta LKTN 2009 (Akta 692) yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh memindahkan, membawa, mengangkut tembakau diawet atau mengambil bahagian dalam aktiviti berkenaan melainkan sudah mendapat kelulusan bertulis daripada LKTN terlebih dahulu.
"Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Dalam pada itu, katanya, ketika ini, tanaman tembakau di negara sudah tidak banyak dan bagi industri yang masih lagi terbabit dalam perusahaan tembakau diberi kebenaran untuk mengimportnya.
"Pengusaha yang terbabit boleh mengimport tembakau ini sama ada dari negara jiran atau negara luar dan tetap dikenakan cukai dengan syarikat pengeluar tembakau boleh memohon permit mengimport daripada LKTN,” katanya.
Katanya, sehingga ini, 16 syarikat pengeluar tembakau diberi lesen untuk mengeluarkan pelbagai produk berasaskan tembakau untuk mengimport 11 juta kilogram (kg) tembakau sepanjang 2019.
-- Bernama