Mujahid diancam bunuh?


PERTUBUHAN Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN) membuat laporan polis terhadap lima individu yang memuat naik komen berunsur fitnah, ugutan dan ancaman bunuh terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, hari ini.

Presiden GMPN, Mejar Razali Zakaria berkata, seorang daripada individu terbabit di laman Facebook memuat naik ayat berbaur ugutan, ‘Mujahid ini patut dibunuh memang manusia terbangsat di dunia’.

Katanya, empat individu lain turut membuat fitnah dan membuat pelbagai hasutan terhadap Menteri Agama berkenaan.

“Mereka memuat naik status dan komen yang berunsur mengancam keselamatan dan akan menghasut orang lain bertindak melakukan perbuatan sama di laman sosial masing-masing.

“Kami juga sudah menyerahkan pautan laman media sosial berkenaan kepada polis untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Naazron Abdul Yusof ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebar berita palsu,” katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel