Orang Putih berjual nasi lemak
Kisah nasi lemak `Mat Salih’
Apa istimewa nasi lemak makanan kegemaran nombor satu rakyat Malaysia?
LAIN orang lain selera.
Baru-baru ini tular kisah seorang wartawan wanita dari United Kingdom dikecam hebat oleh warganet terutama dari Malaysia kerana memberi `rating’ paling rendah kepada hidangan nasi lemak yang dinikmati semasa menaiki satu penerbangan British Airways.
Komen melabelkan hidangan kegemaran rakyat Malaysia itu sebagai paling teruk oleh wartawan warga Britian bernama Katie Morley yang dikongsi menerusi laman twitternya telah mencetus kemarahan netizen.
Ini komen Katie yang dianggap menjengkelkan peminat nasi lemak :
“In the name of public interest, am sharing this wickedly bad meal British Airways treated me to during a 13hr flight. Behold: chicken curry served with anaemic boiled egg, topped with smelly, slimy anchovies. ANCHOVIES. I quite like plane food usually, and this was a 0/10”
(Terjemahan : Atas nama kepentingan awam, saya kongsikan hidangan teruk yang disajikan British Airways kepada saya dalam penerbangan selama 13 jam. Lihatlah : kari ayam dihidang bersama telur rebus, dihiasi ikan bilis berbau. Ikan bilis. Saya biasanya suka makanan dalam kapal terbang, dan ini adalah 0/10)
Berikutan komen tersebut, Katie mengambil inisiatif mencuba hidangan nasi lemak sebenar atas saranan netizen dan akhirnya mengakui keenakan makanan tradisi orang Melayu berasal dari Semenanjung itu.
“Thank you to all the Malaysians to suggested I should try the real Nasi Lemak. You are right, it’s delicious! Nothing like that BA plane meal I had...”
(Terjemahan : Terima kasih kepada semua orang Malaysia yang mencadangkan saya patut cuba nasi lemas sebenar. Anda benar, ia sangat sedap, tidak sama dengan hidangan dinikmati dalam penerbangan BA)
Demikian pengakuan Katie selepas merasai keenakan nasi lemak yang dimasak dan dihidang mengikut cara yang betul.
Itu kisah nasi lemak wanita `mat salih’ bernama Katie, tidak lama selepas itu tular satu lagi kisah `mat salih’ dengan nasi lemak.
Kali ini, menariknya ialah kisah lelaki `mat salih’ peminat tegar nasi lemak sehingga sanggup mempelajari cara-cara membuat nasi lemak melalui YouTube dan akhirnya berniaga nasi lemak di tepi jalan di Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di pinggir Kuala Lumpur.
Kisah penjual nasi lemak `mat salih’ ini menjadi tular kerana nasi lemaknya dikatakan enak dan laku.
Ramai yang memuji kesungguhan pemuda berasal dari Munich, Jerman ini berniaga nasi lemak tetapi ada juga netizan dalam kalangan orang Melayu mempertikaikan sama ada halal atau tidak nasi lemak yang disediakannya.
Memetik laporan penulis bernama Bunga Telang dalam portal bungatelang.wixsite.com, dia yang sempat singgah menjenguk gerai `mat salih’ dikenali sebagai `Micheal White’ itu semasa berjoging awal pagi mengakui bau wangi nasi lemak yang dijual lelaki berkenaan.
“Memang benar, kelihatan 'Mat Salih' berkenaan sedang sibuk melayan beberapa pelanggan yang mahu merasakan air tangan beliau. Beliau yang dibantu ibunya nampak tidak kekok membungkus beberapa nasi lemak pesanan pelanggan. Sempat Bunga Telang mendekati gerainya. Memang wangi nasi lemak yang dijualnya. Lauknya ringkas, hanya sambal tumis, telur dadar dan hirisan timun yang dijual pada harga RM3 sebungkus,” demikian tulis Bunga Telang dalam portalnya.
Menurut Bunga Telang, Micheal mengakui dia bangun seawal jam 3 pagi untuk memasak sendiri nasi lemak dan sambal tumis untuk jualan dengan mempelajari resipinya daripada YouTube.
Bersama ibunya, dia akan membuka gerai seawal jam 7 pagi dan sebelum 9 pagi, semua nasi lemaknya habis dijual.
Bunga Telang sempat berbual dengan ibu Micheal yang memaklumkan keluarga mereka berasal dari Munich tetapi tinggal di Amerika Syarikat.
Kata Bunga Telang, Micheal yang sudah lima tahun menetap di Malaysia bukan `kaleng-kaleng’ penjual nasi lemak kerana memandu kereta mewah Mercedes Benz C Class dan bakal membuka restoran di NU Sentral yang kini dalam proses pengubahsuaian.
Kisah Micheal dan nasi lemak mungkin boleh dijadikan inspirasi untuk mencapai kejayaan oleh rakyat Malaysia yang lain.
Tidak kisahlah anda bangsa apa dan berasal dari mana, hatta `di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’. Begitulah dengan kisah Micheal, dia bukan Melayu dan asalnya dia tidak reti pun memasak nasi lemak tetapi demi minat dia belajar daripada YouTube.
Akhirnya, dia berjaya buka gerai nasi lemak yang menjadi tular dan bakal memiliki restoran sendiri tidak lama lagi.
Kepada yang tidak tahu asal usul nasi lemak, ini sedikit info dikongsikan oleh Gagodaily :-
Sejarah Nasi Lemak
Nasi lemak merupakan makanan tradisional Melayu berasal dari Semenanjung Malaysia sejak zaman dahulu.
Sejarah nasi lemak dikaitkan dengan penggunaan santan dalam nasi yang membuatkan rasa nasi itu berlemak.
Asal mula terciptanya resipi nasi lemak ialah pada zaman Kesultanan Melaka iaitu ada sepasang ibu dan anak bernama Mak Kuntum dan Seri. Suami Mak Kuntum telah lama terkorban dalam pertempuran menentang musuh di Selat Melaka.
Sejak itu, Mak Kuntum terpaksa bekerja mengambil upah mengurut untuk menyara kehidupan bersama Seri.
Pada suatu hari, timbul rasa jemu di hati Seri kerana asyik memasak nasi dan lauk-pauk cara sama. Dia kemudian memikirkan cara lain untuk memasak nasi supaya ada kelainan pada rasa nasi dimasak.
Mula-mula dia memasukkan sedikit lengkuas ke dalam nasi yang sedang dimasak sebelum mencampurkan sehelai daun pandan untuk menyerikan lagi nasi tersebut supaya dapat membangkitkan selera.
Pada waktu tengah hari, semasa Mak Kuntum pulang ke rumah, Seri menghidangkan nasi ciptaannya itu kepada ibunya. Mak Kuntum berasa terperanjat melihatkan nasi yang tidak pernah dilihat sepanjang hayatnya.
"Apa kau masak ni, Seri?" Jawapan Seri : "Nasi le! Mak!" Seri jawab dengan berulang kali. Mak Kuntum bertanyakan lagi kepada Seri. Seri menjawap dengan jawapan yang sama : "Nasi le mak!", "Nasi le mak!", "Nasi le mak!". Semenjak hari itu, nasi tersebut dikenali sebagai Nasi Lemak.
Itulah bermulanya kisah nasi lemak makanan kegemaran nombor satu rakyat Malaysia terutama waktu sarapan yang mungkin ramai tidak tahu.
Nasi lemak biasanya dihidang dengan telur, timun, ikan bilis goreng , kacang goreng dan sambal tetapi kini, nasi lemak dijual dengan pelbagai lauk seperti daging, ayam, sotong, udang, limpa, dan hati lembu.