Pan Borneo siap Ogos 2022

KUCHING: Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang melibatkan 11 pakej pembinaan sejauh 786.41km dijangka dapat disiapkan selewat-lewatnya dalam Ogos 2022, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian hari ini.

Katanya tarikh berkenaan disasarkan berdasarkan maklumat terbaharu yang diperolehi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dari kesemua Kontraktor Pakej Kerja (WPC) dan pembinaan lebuh raya itu sememangnya sudah lewat siap, sebelum diambil alih oleh kementeriannya.

“Fakta ini perlu dimaklumkan untuk semua pihak tahu. Kami tidak mahu dituduh selepas ini, yang projek ini lewat selepas kami ambil alih,” katanya kepada media selepas majlis hala tuju projek Lebuh Raya Pan Borneo di Pejabat JKR Sarawak di sini.

Dalam majlis itu, JKR Sarawak telah dilantik sebagai Pegawai Penguasa bagi pembinaan lebuh raya itu untuk negeri ini, selepas kontrak syarikat Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) sebagai PDP ditamatkan berkuat kuasa hari ini.

Menurutnya dalam tempoh tiga bulan akan datang, JKR Sarawak dijangka akan dapat memperolehi fakta yang lebih terperinci, bagi mengenalpasti tarikh tepat bagi penyiapan pembinaan lebuh raya itu.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel