Polis roboh rumah, pondok pengedar dadah di Lahad Datu


LAHAD DATU, 6 Feb -- Polis merobohkan sembilan rumah pengedar dadah yang dibina di kawasan hutan simpan berdekatan Kampung Air dekat sini dalam satu operasi bersepadu selama lima jam hari ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata dalam operasi bermula 9 pagi itu, turut dirobohkan sebuah pondok manakala terdapat dua lagi rumah pengedar dadah dibongkar.

"Rumah dan pondok yang diroboh ataupun dibongkar itu digunakan sebagai tempat penagihan serta pengedaran dadah, berdasarkan maklumat risikan dan siasatan yang dijalankan.

"Pada masa sama, rumah berkenaan turut didapati membuat penyambungan haram bekalan elektrik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nasri berkata operasi bersepadu itu mendapat kerjasama Majlis Daerah Lahad Datu, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Perhutanan dan Jabatan Air.

"Pihak SESB merampas kira-kira 90 kilogram kabel letrik sepanjang tempoh operasi itu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata operasi sama turut dijalankan serentak di Kampung Puyut dekat sini dan seorang lelaki ditahan kerana memiliki 0.42 gram dadah serta positif syabu berdasarkan ujian air kencing.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel