Polis tembak lelaki libas parang, rampas dadah

KUNAK, 8 Feb -- Polis melepaskan dua das tembakan ke arah seorang lelaki warga Filipina yang bertindak mengejar dan melibaskan parang ke arah anggota polis yang sedang menjalankan Ops Ice Breaker di Ladang Tingkayu di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kunak, Supt Baharin Md Tahir berkata lelaki berusia 22 tahun itu cedera di bahu kiri serta kanan, dan polis turut merampas 17.25 gram dadah disyaki Syabu yang dianggar bernilai RM2,587.50 daripada lelaki itu, dalam kejadian kira-kira pukul 4.00 pagi.

Beliau berkata kejadian berlaku semasa pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak menjalankan intipan, apabila mereka mengesan suspek yang mencurigakan sedang memegang parang dan memakai beg di bahagian pinggang berehat di kawasan itu.

"Apabila polis mendekati dan memperkenalkan diri, suspek bertindak berlari sambil melibaskan parangnya ke arah anggota bertugas sehingga polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah suspek untuk mempertahankan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nasri berkata pemeriksaan terhadap beg pinggang milik suspek menemukan satu kotak rokok mengandungi satu palet lutsinar berisi dadah.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek memiliki rekod kesalahan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu di KOTA KINABALU, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah yang memeriksa 487 pendatang asing dalam operasi bersepadu sejak semalam sehingga awal pagi ini, menahan 62 individu yang didapati merupakan pendatang tanpa izin (PATI).

Pengarahnya JIM Sabah Datuk Dr Mohamad Sade Mohamad Amin berkata pendatang warga Filipina, Indonesia, China dan Thailand itu ditahan dalam operasi selama 6 jam yang bermula dari pukul 10.30 malam tadi.

Beliau berkata operasi itu melibatkan pemeriksaan di 12 lokasi sekitar bandar raya, antaranya The Bed Waterfront, Buga Food Sdn Bhd, rumah setinggan Salamat Bahagia, Kampung Numbak, Shamrock Irish Bar dan City Reflexology Centre.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel