Program Kembara Kasih UNIMAS di Nanga Badau
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan kerjasama Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Sarawak telah menjayakan Program Kembara Kasih di Sekolah Dasar Negeri 5 Seriang, Nanga Badau, Kalimantan Barat.
Ketua Program Kembara Kasih, Dexter Sigan John berkata, menerusi program sedemikian, UNIMAS boleh mendapatkan maklumat mengenai masalah-masalah dalam pendidikan bukan sahaja diperingkat tempatan tetapi juga di peringkat global.
“Ini kerana, kita (UNIMAS) percaya semua kanak-kanak di kawasan luar bandar berhak untuk mendapat kemudahan pendidikan yang berkualiti. Kita juga mengucapkan terima kasih kepada Pustaka Negeri Sarawak dan komuniti setempat atas bantuan dan kerjasama dalam menjayakan program ini,” katanya.
Sementara itu, Pendaftar UNIMAS, Azlan Ramli merasa bangga dengan ahli jawatankuasa program kembara kasih yang berjaya menganjurkan program berkenaan melibatkan negara jiran.
Beliau berkata, adalah menjadi hasrat UNIMAS untuk terus memperkasakan program yang boleh membantu penduduk luar bandar meningkatkan kehidupan menerusi pendidikan yang berkualiti.
“Sebagai universiti awam di Sarawak, UNIMAS memainkan peranan besar dalam bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk membantu sekolah-sekolah serta komuniti yang memerlukan,” katanya.