Projek jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik rancakkan ekonomi Sarawak 2020

KUCHING, 17 Feb: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjangkakan wabak Covid-19 yang melanda China dan banyak negara lain tidak akan menjejaskan sasaran perkembangan ekonomi Sarawak antara 5 hingga 6 peratus tahun ini.

"Saya menjangkakan ekonomi (Sarawak) akan berkembang antara 5 hingga 6 peratus tahun ini melalui suntikan pembangunan infrastruktur. Dalam erti kata lain, kita tidak akan terkesan dengan wabak virus ini,"katanya ketika menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Makan Malan Ulangtahun Ke-41 Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian di sini, malam tadi.

Abang Johari berkata suntikan pembangunan infrastuktur terbabit adalah peruntukan mencecah berbilion ringgit kerajaan Sarawak bagi melaksanakan projek membina jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik mulai tahun ini yang bakal mewujudkan rantaian ekonomi.

Katanya dari segi sektor pelancongan yang terjejas akibat wabak itu, beliau juga mendedahkan sektor terbabit adalah tidak begitu besar dari segi sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) Sarawak.

"Tetapi pastinya sektor pembinaan dan juga eksport kita dari segi jumlahnya adalah amat menyumbang kepada perkembangan GDP kita. Maka saya fikir kita masih boleh menjangkakan perkembangan GDP kita antara 5 hingga 6 peratus tahun ini,"katanya.

 Abang Johari berkata Bank Negara juga telah mendedahkan perkembangan ekonomi negara ini pada 3.6 peratus suku ke empat tahun lepas dan menjadi yang terendah sejak suku ke empat 2009.

"Jadi kami akan memperkukuhkan ekonomi kita dengan memberikan penekanan kepada sektor pembinaan. Keduanya menyediakan perkhidmatan termasuk pendidikan kepada rakyat kita,"katanya.

Abang Johari berkata ini sebabnya kerajaan negeri memutuskan meningkatkan peruntukan tahunannya kepada sekolah aliran Cina di negeri ini kepada sebanyak RM9 juta tahun ini berbanding RM8 juta tahun lepas.

Selain itu, beliau juga mengumumkan pemberian sebidang tanah di bandar raya ini dari kerajaan Sarawak kepada persekutuan terbabit bagi membina bangunannya sendiri dan akan membincangkan dalam kabinet negeri tentang Sarawak membantu China menangani wabak Covid-19.
tamat

keterangan gambar:
1. Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ( enam dari kanan) menerima cenderahati dari Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Datuk Richard Wee ( enam dari kiri) di Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Makan Malan Ulangtahun Ke-41 persekutuan itu, di sini, malam tadi.
LihatTutupKomentar
Cancel