Pusat aktiviti riadah di Tasik Empangan Hidro Bakun
KUCHING: Pelayaran di Tasik Bakun dan Rowing Club akan diwujudkan di Tasik Empangan Hidro Bakun yang berpotensi menjadi sebuah pusat kegiatan air di Sarawak.
Dengan keluasan 675 km persegi dan merupakan salah satu takungan terbesar di Sarawak, prospek membangunkan Tasik Bakun untuk sukan pelayaran, luncur angin, taman hiburan dan taman rekreasi mungkin boleh jadi kenyataan.
Timbalan Ketua Menteri yang juga merupakan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, empangan Bakun merupakan aset penting bagi kerajaan Sarawak dan menjadi daya tarikan pelancong.
Menurutnya, empangan bakun akan memainkan peranan yang lebih besar selain untuk penjanaan kuasa elektrik.
Katanya, kerajaan perlu mengawal empangan bakun menjadi kawasan yang terhad dan diselia sebagai tapak pelancongan.
Tambahnya, selain pembangunan infrastruktur seperti jeti dan kemudahan perancangan perlu mengambil kira aspek alam sekitar dan kelestarian yang mampan untuk ia menjadi pembangunan pelancongan yang inklusif.
Menurutnya, pembangunan akan dibahagikan kepada fasa-fasa yang lebih kecil dan membolehkan masa untuk membina kapasiti masyarakat yang tinggal di sekitar tasik serta membantu mereka mengambil bahagian dalam rantaian ekonomi pelancongan.