Racun gajah Borneo mati
KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata hasil bedah siasat terhadap dua bangkai gajah yang ditemukan mati baru-baru ini mendapati berpunca daripada racun yang dimakan oleh gajah malang itu.
"Kami akan menjalankan siasatan lebih lanjut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ‘Ke Tamu’ yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Laman Seni, di sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah bagaimanapun berkata jenis racun berkenaan masih belum dapat dipastikan.
Baru-baru ini dua gajah betina Borneo ditemukan mati, masing-masing satu di ladang kelapa sawit di Sukau, Kinabatangan dan Hutan Simpan Deramakot Sandakan.
Ia merupakan penemuan kedua dan ketiga bangkai gajah pada tahun ini selepas penemuan bangkai gajah pertama di Lower Kinabatangan pada bulan lepas, dipercayai ditanam oleh syarikat penanaman sawit.
Christina berkata bagi mengatasi perkara itu, kerajaan negeri telah meluluskan Pelan Tindakan Gajah Negeri Sabah 2020-2029 dalam usaha untuk mencari penyelesaian konflik antara manusia dan gajah.
Mengenai program ‘Ke Tamu’ itu, beliau berkata ia dapat mengumpulkan para penggiat seni tempatan untuk mempamerkan hasil karya masing-masing.
Beliau berkata perbincangan akan diadakan bersama pihak yang berkaitan agar Laman Seni akan menjadi pusat tumpuan setiap minggu.
Kira-kira 40 peserta pempamer menyertai program itu yang terdiri daripada gerai manik, lukisan dan makanan.
-- BERNAMA