Sabah-Sarawak mesti lebih satu pertiga kerusi parlimen


KUCHING: Gabungan Parti Sarawak Sarawak (GPS) mahu perwakilan Sarawak dan Sabah dalam kerusi Parlimen lebih satu pertiga, seperti pada mula penubuhan Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pada masa sekarang wakil Sabah dan Sarawak di Parlimen masih kurang satu pertiga.

“Sebelum ini semasa Singapura masih bersama Malaysia, kita mempunyai lebih satu pertiga.”

“Malaya ketika itu tidak mempunyai dua pertiga kerusi yang membolehkan mereka meminda Perlembagaan Persekutuan tanpa kelulusan Sabah dan Sarawak.”


Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Teringgi GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini petang tadi.


Abang Johari yang juga pengerusi GPS menambah, kerajaan persekutuan mesti mendapatkan persetujuan dari Sabah dan Sarawak jika kerajaan persekutuan mahu meminda perlembagaan dan  melaksanakan senarai pengundi.

Katanya, memandangkan kerajaan persekutuan menubuhkan Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (Electoral Reform Comittee (ERC)  untuk mengkaji semula sistem dan undang-undang pilihan raya di negara ini, Sarawak juga mempunyai cadangan sendiri.

“Biasanya, bila mereka meminda perlembagaan, ia hanya memberi kesan kepada Semenanjung Malaysia. Ini secara demokrasi adalah tidak betul,” tegas Abang Johari.

ERC ditubuhkan pada Ogos 2018 untuk mengkaji semula sistem dan undang-undang pilihan raya di negara ini.

Jawatankuasa diberi masa dua tahun untuk menyiapkan tugasnya termasuk mengemukakan laporan dan perakuan kepada kerajaan untuk diperhalusi dan dilaksanakan.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
LihatTutupKomentar
Cancel