Seorang lagi positif koronavirus, jadikan jumlah keseluruhan 17 kes - KP Kesihatan
KUALA LUMPUR, 9 Feb -- Seorang wanita tempatan berusia 65 tahun menjadi individu terbaru positif novel koronavirus 2019 (2019-nCoV), menjadikan angka keseluruhan jangkitan dalam negara kini berjumlah 17 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata wanita berkenaan merupakan ibu mertua kepada kes warganegara Malaysia yang dilaporkan pada 4 Feb 2020 lepas, iaitu kes kesembilan.
Menurutnya, wanita berkenaan mempunyai beberapa penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, lumpuh separuh badan, seorang pesakit jantung yang menggunakan perentak jantung serta pergerakan yang terhad.
Katanya wanita itu mempunyai kontak langsung dengan kes kesembilan, semasa duduk semeja bagi beberapa jamuan makan sempena sambutan Tahun Baharu Cina bersama-sama ahli keluarga yang lain, dari 26 sehingga 28 Jan lepas.
“Sepanjang 29 Jan hingga 4 Feb beliau memaklumkan hanya berada di rumah. Bagaimanapun, pada 5 Feb beliau mengadu kurang sihat, iaitu mengalami pening kepala, berpeluh dan tidak bermaya tetapi tiada demam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
- Bernama