Syarikat minyak gergasi Jepun lebar sayap ke Sarawak
MIRI: Syarikat minyak dan gas berpangkalan di Tokyo, JX Nippon Oil & Gas Exploration Corporation melebarkan sayap ke Sarawak dengan membuka cawangan baharu di sini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia membuktikan pelabur masih mempunyai keyakinan terhadap industri berkenaan kembali pulih di Sarawak.
“Kita juga berharap untuk menyaksikan semula kebanjiran pekerja dalam industri minyak dan gas di Miri," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mesra Tahun Baharu Cina 2020 anjuran Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu Bahagian Miri di sebuah hotel terkemuka di sini.
Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak menjangkakan pertumbuhan ekonomi negeri ini akan mencapai purata 5 hingga 6 peratus pada 2020 ini.
“Kita sudahpun memperuntuk dana yang mencukupi untuk membangunkan infrastruktur-infrastruktur seperti rangkaian jalan raya, bekalan air dan elektrik di seluruh negeri, untuk keperluan semua rakyat.
“Saya bukan ahli silap mata, boleh menjelmakan semuanya sebaik sahaja saya bercakap.
“Ia mengambil masa untuk dibangunkan secara berperingkat, namun yang pasti kita sudahpun mengagihkan peruntukan untuk melaksanakan pembangunan negeri kita.
“Kita juga memberi penekanan kepada industri pertanian moden yang berasaskan teknologi, yang dapat membantu memacu ekonomi negeri terutama bagi rakyat di luar bandar, yang akan dilengkapkan lagi dengan kemudahan asas.
“Saya boleh katakan bahawa dengan adanya sokongan rakyat negeri ini, Sarawak akan membangun lebih pantas menjelang 2030, apatah lagi pertumbuhan ekonomi kita tinggi daripada negara, yang menjangkakan pertumbuhan sebanyak 4 hingga 5 peratus,” tambahnya.
Beliau yakin Sarawak akan menghasilkan lebih banyak produk sesuai sebagai sebuah negeri yang berorentasikan eksport.