Tiga kes positif pulih

KUALa LUMOUR: Tiga kes positif jangkitan 2019-nCoV pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. berkata, dua daripada pesakit pulih sepenuhnya dengan diberikan rawatan simptomatik manakala seorang lagi pesakit pulih selepas diberikan rawatan ubat antiviral Kaletra.

"Terdapat satu kes baharu (kes ke-18) dilaporka semalam. Kes telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan sedang mendapatkan rawatan. 18 kes positif setakat ini," katanya dalam kenyataan.

Kes terbaharu membabitkan seorang lelaki rakyat Malaysia berumur 31 tahun yang bekerja di Macau dan kembali ke Malaysia pada 1 Feb.

Semua pesakit yang sedang dirawat iaitu sembilan warga China dan enam rakyat tempatan berada dalam keadaan stabil, katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini 2019-nCoV di sini hari ini. 

Dzulkefly berkata situasi semasa jangkitan koronavirus di Malaysia masih terkawal.

Mengenai kes positif terbaharu itu, beliau berkata 22 individu yang merupakan kontak rapat telah dikesan bagi membendung penularan virus tersebut.

Tiga daripadanya merupakan anggota keluarga lelaki tersebut iaitu ibu, adik dan anak saudaranya manakala baki 19 orang adalah kakitangan kesihatan.

Beliau berkata sampel daripada ketiga-tiga ahli keluarga lelaki itu telah diambil untuk ujian pengesanan. 

"Kita juga sedang mengambil sampel daripada 19 anggota kesihatan yang dipercayai merawat lelaki berkenaan (pada peringkat awal) tanpa memakai peralatan perlindungan diri seperti disarankan," katanya.

Ditanya sama ada Malaysia akan mengambil langkah menaikkan tahap amaran berhubung jangkitan koronavirus seperti dilakukan oleh negara jiran, Dzulkefly berkata Malaysia tidak menggunakan kaedah seperti itu. 

Beliau berkata Malaysia mempunyai fasa tertentu sebelum sesuatu amaran seumpama itu dikeluarkan iaitu fasa amaran, pembendungan awal, pembendungan akhir sebelum langkah mitigasi dilaksanakan. 

Katanya, ketika ini Malaysia masih di tahap pembendungan awal.
LihatTutupKomentar
Cancel