156 kes baharu dilaporkan pada hari ini
PUTRAJAYA: Sebanyak 156 kes baharu dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 2,626 kes.
Daripada jumlah tersebut sebanyak 94 kes dilaporkan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi dan 62 kes daripada jumlah itu memerlukan bantuan pernafasan.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media berkata, sebanyak tiga kes kematian baharu telah dilaporkan dan menjadi 37 kes keseluruhan setakat ini.
Menurutnya, sebanyak 91 kes yang pulih pada hari ini menjadikan jumlah kes telah pulih dan discaj dari wad sebanyak 479.
Sementara itu, bagi individu yang telah diarahkan untuk menjalani 'home/self surveillance' pastikan anda mematuhi tatacara Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah yang telah ditetapkan.
Menurutnya, Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah ini merupakan arahan yang termaktub dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"KKM ingin menasihatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, anda perlu mengasingkan diri anda daripada bergaul rapat dengan ahli keluarga atau orang yang tinggal serumah dengan anda selama 14 hari, 24 jam sehari.
"Dalam tempoh ini, anda dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan seperti amalan kebersihan diri yang baik, kerap mencuci tangan dan social distancing (jarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter) dari orang lain.
"Dalam tempoh 14 hari ini, anda juga diminta memantau diri atau sebarang gejala seperti demam, batuk, selsema, sakit tekak atau sesak nafas," katanya.
Beliau berkata, sekiranya anda mengalami mana-mana gejala tersebut, segera buat panggilan ke fasiliti kesihatan terdekat dan maklumkan status anda kepada petugas kesihatan.