1,700 pekerja pembersihan gadai nyawa di 23 hospital seluruh Sarawak
Tabik wira tak didendang
KUCHING: Pengorbanan lebih 1,700 warga kerja One Medicare Sdn Bhd yang bertugas di 23 buah hospital di seluruh Sarawak umpama wira yang tidak didendang.
Mereka berusaha siang dan malam membantu pesakit dan membendung penyebaran jangkitan virus COVID-19.
Antara mereka ialah Operator Pembersihan, Porter, Pekerja Bahagian Linen dan Pendobian, Pemandu Lori Sisa-sisa Klinikal dan Technician telah bersengkang mata, berjauhan daripada keluarga, mengambil risiko melaksanakan tanggungjawab mereka dan berkhidmat untuk komuniti bagi mengekang terus tersebarnya jangkitan virus berkenaan.
"Kita mungkin tidak dapat melihat dengan dekat mereka yang bekerja di sebalik tabir ini, tetapi merekalah wira tidak didendang kerana usaha dan pengorbanan mereka membolehkan kita meneruskan hidup seperti biasa tanpa terlalu risau akan penularan COVID-19," kata syarikat menerusi kenyataan media
Beliau berkata, mereka kental berada di barisan hadapan membantu di hospital dalam menghadapi virus setiap hari.
"Acap kali kita setia menanti akan perkembangan mutakhir daripada Kementerian Kesihatan Malaysia berkaitan dengan wabak COVID-19.
"Apa menyedihkan kita, disebalik pengorbanan mereka ini ada segelintir masyarakat menyebarkan pelbagai fitnah dan berita palsu untuk menakut-nakutkan orang ramai serta menimbulkan kegusaran awam tanpa memikirkan kesan dan semangat moral terhadap mereka yang bertugas di balik tabir ini.
"Pengorbanan warga kerja One Medicare Sdn. Bhd. yang terdiri daripada Operator Pembersihan, Porter, Pekerja Bahagian Linen dan Pendobian, Pemandu Lori Sisa-sisa Klinikal dan Technician cukup besar dalam isu COVID-19 ini," katanya.