7,500 anggota ATM bantu PDRM -Jeneral Tan Sri Hj Affendi


KUCHING - Seramai 7,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam ketiga-tiga perkhidmatan ditugaskan untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) di 405 lokasi Sekatan Jalan Raya dan 272 lokasi adalah rondaan MPV (Mobile Patrol Vehicle) di seluruh negara setiap hari. 

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Hj Affendi Buang berkata, keputusan melibatkan ATM dalam membantu PDRM juga adalah satu yang wajar agar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dapat dilaksanakan atau dikuatkuasakan dengan sebaik mungkin. 

Katanya, peranan ATM yang bermula pada 22 Mac 2020 seperti yang dinyatakan Menteri Pertahanan adalah membantu PDRM dalam mengadakan rondaan, sekatan jalan raya, mengawal hospital dan sempadan, kawasan luar bandar dan kawasan-kawasan awam yang berisiko tinggi. 

"Melalui pelaksanaan hari pertama, saya melihat kolaborasi ATM/PDRM ini tidak perlu dipertikaikan terutama sejauh mana peranan yang dibawa oleh ATM.

"Ini kerana kita perlu bertindak segera dalam apa jua cara dalam menangani wabak ini. Walaupun pematuhan PKP mencapai kadar pematuhan 90 peratus, namun kita tidak boleh memandang enteng dengan jumlah 10 peratus yang masih ingkar. Peratusan tersebut melibatkan kira-kira 3 juta orang dan ia merupakan satu jumlah yang besar," tegasnya dalam kenyataan media sebentar tadi.

Tambah beliau, kegagalan juga bukanlah suatu pilihan di dalam ATM dan justeru itu, apabila tugasan diberi untuk membantu PDRM, ATM secara langsung akan membantu memupuk sifat berdisiplin di kalangan rakyat Malaysia untuk mematuhi sebarang perintah dan arahan yang sah yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa. 

"ATM juga bersetuju untuk penguatkuasaan PKP ini diberi tumpuan lebih kepada kawasan-kawasan yang berisiko tinggi seperti lokasi pasar dan pasar raya di mana didapati sehingga kini pengguna didapati masih bersesak dan tidak mengamalkan penjarakan sosial (social distancing). 

"Orang ramai juga dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita tular terutama melibatkan informasi/gambar/video/rakaman suara yang menunjukkan aturgerak ATM pada skala besar mahupun perlakuan tidak munasabah yang bakal diambil oleh anggota tentera," jelasnya.

Menurutnya, ini kerana ia boleh mencetuskan kebimbangan serta panik dan secara tidak langsung menunjukkan kaedah yang tidak benar dalam penguatkuasaan PKP ini.
LihatTutupKomentar
Cancel