Aduan jual topeng mahal, 255 premis diperiksa
KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Sejumlah 31 kesalahan berkaitan harga dan bekalan penutup mulut dan hidung direkodkan, daripada 255 pemeriksaan yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), dengan jumlah nilai kompaun RM127,400 sejak penularan wabak COVID-19.
Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata daripada jumlah tersebut, 26 daripadanya melibatkan kesalahan menjual penutup mulut dan hidung, melebihi harga siling RM2 yang ditetapkan.
“Setakat ini, ada lebih daripada 30 kes (31 kes). Memang kita ada SOP mengenai itu (pemeriksaan dan tindakan). Kita akan teliti dahulu sejauh mana, betul atau tidak aduan itu, dan kita ada undang-undang yang akan dikenakan kepada mereka yang ditangkap (jika didapati bersalah).
"Bukan hanya penutup mulut dan hidung, mana-mana pihak tidak boleh mengambil kesempatan terhadap bahan ‘essential’ (perlu) atau tidak. ‘Profiteering’ atau pencatutan ini (adalah) kesalahan. Jadi kita merayu kepada yang terlibat dalam perniagaan ini, untuk tidak mengambil kesempatan, lebih-lebih lagi masa terdesak," katanya kepada pemberita selepas tinjauan bekalan dan harga barang keperluan di sebuah pasar raya di Taman Maluri dekat sini hari ini.
Nanta berkata, sungguhpun pembekal dan pengilang telah memberi jaminan bahawa bekalan penutup mulut dan hidung itu mencukupi, namun sikap pihak yang mengambil kesempatan serta membuat belian panik, menyebabkan bekalan tersebut sukar diperoleh.
Kementerian itu membenarkan penutup mulut dan hidung diimport dan dijual pada harga maksimum RM2 sekeping berkuat kuasa Jumaat lepas (20 Mac).
Setakat semalam, Sabah dan Melaka mencatatkan bilangan kesalahan tertinggi iaitu masing-masing enam kes, diikuti Selangor (4), Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan (masing-masing 3), Kedah, Pulau Pinang, dan Johor (masing-masing 2), Perak, Pahang dan Sarawak (masing-masing 1)
-- BERNAMA