Bahayakan rakyat demi kutip keuntungan?
Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias
Adakah sesetengah pihak masih mahu memikirkan keuntungan berbanding keselamatan rakyat tatkala isu penularan virus korona yang dikenali COVID-19 masih belum berakhir malah sedang rancak merebak ke seluruh dunia?
Bagi orang Islam pula, mereka mungkin terkejut apabila tidak ada penerbangan atau diarahkan balik sejurus tiba ke
Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Abdul Aziz di Madinah.
Lebih mengejutkan apabila Kaabah dan Mekah yang menjadi kiblat serta tumpuan seluruh dunia, yang kebiasaannya penuh setiap hari, kini lengang seolah-tiada tiada orang?
Negara di seluruh dunia termasuk Eropah telah mengambil langkah berjaga-jaga dari awal dengan menyekat kemasukan dan penerbangan masuk atau keluar dari China.
Malah muzium The Lourve yang terkenal dengan lukisan Monalisa di Paris pun ditutup.
Walaupun tindakan berjaga-jaga dan pencegahan negara-negara itu dikira agak lambat tetapi jelas kelihatan bersungguh-sungguh melakukan apa sahaja untuk mengekang penularan virus yang telah meragut ribuan mangsa ini. Seperti kata pepatah "Better late than never".
Namun sebaliknya pula berlaku di Malaysia ketika di bawah kerajaan PH.
Ada rakyat yang prihatin terlebih dahulu dan cuba memberikan amaran awal.
Wartawan yang dikenali sebagai Ibuyati telah memberikan amaran dan ingatan awal berhubung kebimbangan negatif mengenai penyebaran virus Covid-19 ini melalui hantaran dalam Facebook beliau.
Namun bukannya kerajaan mahu berterima kasih, sebaliknya yang diterimanya adalah tindakan pihak polis PDRM dan Peguam Negara yang telah menangkap serta mendakwa atas tuduhan menyiarkan berita palsu dan menimbulkan kebimbangan awam.
Tindakan polis itu jelas menggambarkan hipotesis polis sengaja hendak membiarkan Malaysia dilanda wabak virus pembunuh ini.
Ramai terutamanya yang mengenali Ibuyati tahu bahawa tindakan beliau itu ada asasnya dan mempercayainya dan sudah tentu tidak menganggapnya sebagai berita palsu sebagaimana PDRM.
Ini kerana Ibuyati pernah menyebarkan berita dan hipotesis tiga tahun sebelum PRU14 yang berlangsung pada 2018 bahawa UMNO BN akan kalah teruk.
Dan tiada sesiapa pun yang percaya mengenai hipotesis itu kecuali Presiden Donald Trump yang mempercayainya setelah menerima maklumat itu dan bertanya khabar.
Akhirnya hipotesis itu juga telah terbukti benar.
Kini tindakan Ibuyati memberi amaran berkenaan telah terbukti benar di seluruh dunia ketika kerajaan PH tidak pun menyekat keluar masuk dari China.
Ini boleh dilihat cara pengendalian kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini yang dilihat tidak bersungguh mengambil tindakan dengan pelbagai alasan seperti bimbang ekonomi terjejas, nasib rakyat Malaysia di China yang belum pulang ke tanah air serta semua aspek yang membabitkan hubungan dua hala.
Menurut Ibuyati, KEBIMBANGAN itu mesti ada dalam semua apa yang dilakukan manusia.
Perasaan bimbang itu mesti sentiasa diingatkan. Menurutnya ada bimbang positif dan ada bimbang negatif.
Tatkala kerajaan PH sebelum ini pula mengamalkan prinsip pintu terbuka menerusi penjualan hartanah serendah RM600,000 kepada warga China, pengecualian visa setahun kepada warga China dan India, yang menunjukkan jelas persepsi bahawa PH sengaja melambakkan warga China ke dalam Malaysia.
Adakah juga atas alasan mengutip wang dan keuntungan melalui penjualan hartanah?
Malah dari sektor pelancongan, syarikat penerbangan di negara ini dilihat masih galak mempromosi tiket tambang murah malah ada yang menawarkan penerbangan tanpa had khususnya ke negara-negara yang dilanda COVID-19.
Dengan hipotesis lain, adakah kerajaan menggalakkan syarikat penerbangan mengadakan PENERBANGAN PERCUMA supaya virus ini masuk ke Malaysia?
Agak mengejutkan promosi tambang murah dari Kuala Lumpur ke China, Jepun dan Korea serendah RM499 dengan penerbangan tanpa had berapa kali setahun.
Malah tinjauan tiket tanpa promosi ke negara-negara berkenaan juga amat murah lebih murah dari tambang bas antara Kuala Lumpur ke Singapura, dengan harga serendah RM76 dan tidak lebih RM400 bagi penerbangan sehala.
Untuk rekod Korea diwartakan sebagai negara yang tidak boleh dilawati sekarang kerana kes COVID-19 yang semakin serius pada saban hari.
Sehingga artikel ini ditulis, Korea merupakan negara diluar China yang mencatitkan jangkitan terbanyak.
Manakala Malaysia sudah mencatat kes ke 26 positif COVID-19 ketika artikel ini ditulis.
Semuanya ini menyusahkan dan membimbangkan semua pihak termasuklah warga Istana Negara sekali apabila ada kakitangan yang terpaksa menjalani pemeriksaan dibimbangi terdedah dengan Ahli Parlimen yang terdedah dengan pesakit COVID-19.
Menerusi laporan terkini pegawai kanan Uda Holdings disahkan dijangkiti virus setelah melawat China pada pertengahan Januari 2020.
Hinggakan ditakuti menjangkitkan menteri dan Ahli Parlimen.
Memang tidak dinafikan penularan wabak COVID-19 menyebabkan syarikat penerbangan global menanggung kerugian sehingga AS$5 bilion (RM21 bilion.
Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) berkata 70 syarikat pnerbangan sudah membatalkan penerbangan masuk dan keluar China manakala 50 lagi syarikat mengurangkan penerbangan.
Bagaimanapun apa yang rakyat perlu sedar, COVID-19 telah mengorbankan hampir 1,500 orang, menjangkiti lebih 64,600 pesakit di China, mencatatkan lebih 600 kes di sekitar 30 lokasi di serata dunia.
Bagaimanapun tindakan berbeza yang diambil Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul pada 24 Februari lalu, yang menggesa rakyatnya agar mengelakkan perjalanan tidak perlu ke negara-negara yang dilanda virus itu.
Sebaliknya rakyatnya digesa melancong secara domestik untuk membantu mengembangkan ekonomi dalam negara.
"Bagi syarikat penerbangan, tolong kurangkan promosi... walaupun harga tiket dan pakej pelancongan murah tetapi rawatan (COVID-19) adalah mahal. Ia mungkin menjadi percutian terakhir anda," katanya.
Negara jiran, Singapura juga turut menyekat kemasukan pelancong China serta tidak mengeluarkan visa kepada mereka selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan darurat kesihatan global akibat penularan pantas wabak itu berbanding wabak lain.
Malah WHO turut memberi amaran kepada Malaysia supaya berhati-hati kerana keberangkalian tinggi akan berhadapan penularan wabak dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun amaran itu dipertikaikan oleh bekas menteri PH yang khuatir ia akan menimbulkan kebimbangan rakyat.
Media tempatan kelmarin pula melaporkan terbukti kebimbangan rakyat terhadap penularan wabak ini berasas, bekas menteri dan bekas timbalannya dikhuatiri dijangkiti COVID-19 selepas menghadiri majlis dan sidang media yang dihadiri pegawai kanan Uda Holdings yang disahkan positif wabak itu.
Para petugas media, kakitangan hotel yang turut berada pada majlis berkenaan bimbang terdedah COVID-19 susulan pendedahan berkenaan.
Adakah rakyat tidak perlu bimbang kesan virus ini termasuk kesan kepada ekonomi?
Ini kerana bekas Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion yang ditunjangi oleh tiga strategi iaitu menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.
Nyawa tidak bergantung pada apa yang bekas Perdana Menteri ucapkan.
Adakah kerajaan baru yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yaasin hendak terus membiarkan bahaya ini?
Penulis adalah penerima Ahli Mangku Negara, Tokoh Wartawan Rakyat dan Anugerah Kajai 2014.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili Gago Daily.