Baru Bian masuk Parti Bansa Dayak Sarawak Baru?

MIRI: Tanda tanya sama ada bekas Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian terus menjadi ahli politik bebas atau menyertai mana-mana parti mungkin akan terjawab Jumaat ini.

Menurut sumber dalaman, perkara itu sepatutnya diumumkan hari ini, namun ditangguhkan ke Jumaat.

Sumber itu turut membayangkan, Ahli Parlimen Selangau itu akan menyertai parti tempatan, namun tidak dapat dipastikan sama ada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS)

“Itu yang kami dengar berdasarkan sumber-sumber terdekat dalam kumpulan whatsapp. Beliau tidak mungkin menyertai parti Semenanjung kerana tidak mahu digelar ‘Ulun Malaya’. apa pun kita tunggu kenyataan rasmi beliau sendiri,” kata sumber itu.

Sebelum Baru dalam satu perkongsian di Facebooknya pada 11 Mac lalu berkata, beliau tidak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebaliknya menjadi Ahli Parlimen bebas.

Baru yang juga bekas Menteri Kerja Raya sebelum ini dilaporkan antara penyokong kuat Azmin Ali yang tidak mahu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri yang baharu.

Namun pada saat akhir, Baru dilaporkan mengubah fikiran dan menyatakan ikrar sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Susulan daripada itu, Baru bersama dua ahli PKR Sarawak, iaitu Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju keluar daripada PKR.

Dalam perkembangan berkaitan, hampir 2,000 penyokong kuat Baru di Ba Kelalan termasuk Ketua Wanita dan ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengumumkan keluar parti berkuatkuasa 15 Mac.

Setiausaha PKR Cawanngan Ba Kelalan, James Tai dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka sebulat suara keluar parti kerana tidak yakin dengan pucuk kepimpinan PKR di peringkat nasional dan negeri.

Katanya, bekas-bekas ahli PKR Ba Kelalan akan memberi sokongan penuh, kesetiaan dan kepercayaan kepada Baru Bian dalam hala tuju politik yang seterusnya.
LihatTutupKomentar
Cancel