Boleh keluar caruman KWSP RM500 sebulan


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kemudahan pengeluaran caruman akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkuat kuasa 1 April ini bagi membantu meringankan beban ditanggung rakyat.

Menurutnya, inisiatif pengeluaran menerusi i-Lestari itu tertakluk kepada jumlah RM500 sebulan selama 12 bulan membabitkan pencarum bawah usia 55 tahun.

"Permohonan boleh dibuat bermula 1 April 2020. Inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP, dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 billion,"  katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi hari ini.

Katanya, inisiatif itu adalah sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang lebih komprehensif yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Beliau berharap inisiatif dan juga pengurangan kadar caruman KWSP pekerja sebanyak 4 peratus yang berkuat kuasa pada bulan April 2020 akan membolehkan pekerja mempunyai lebih wang dalam poket masing-masing untuk membeli barang-barang keperluan harian.

"Nasihat saya kepada anda semua yang akan menerima manfaat ini, gunalah wang ini sebaik mungkin.

"Beli barang-barang yang perlu sahaja dalam waktu yang agak sukar ini. Yang penting, pastikan setiap hari ada makanan di atas meja untuk seisi keluarga.

"Mungkin juga wang ini sebahagiannya 
boleh digunakan untuk menampung bayaran bil air atau bil elektrik atau sewa rumah mengikut keperluan masing-masing.

"Walaupun jumlahnya mungkin tak seberapa, tetapi inilah wang 
hasil titik peluh anda sendiri yang sepatutnya digunakan untuk 
hari tua, tetapi kerajaan benarkan wang ini digunakan pada masa ini memandangkan ada dalam kalangan saudara-saudari 
yang memerlukan," katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel