Covid-19 : RM500 juta untuk Kementerian Kesihatan
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan bagi menyokong usaha menangani COVID-19.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan ini antara lainnya akan digunakan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan ICU, peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan COVID-19.
"Untuk menyegerakan pembelian barangan kritikal, kerajaan telah meluluskan tatacara perolehan secara darurat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi hari ini.
Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM100 juta juga disediakan kepada Kementerian Kesihatan untuk melantik 2,000 kakitangan baharu secara kontrak, terutamanya jururawat.
Katanya, ramai jururawat dan kakitangan hospital yang amat keletihan pada masa ini kerana mereka terpaksa bekerja siang dan malam untuk membuat saringan kes COVID-19 dan merawat mereka yang disahkan positif.
"Saya berharap pengambilan kakitangan baharu ini dapat dibuat dengan segera supaya semua hospital di negara kita mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk menangani penularan wabak COVID 19," katanya.
Menurutnya, kerajaan juga telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM130 juta kepada negeri-negeri untuk membantu kerajaan negeri menangani krisis COVID19.
Katanya, peruntukan ini boleh digunakan untuk memberi bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil yang terjejas akibat krisis COVID-19, bantuan kepada pesakit COVID-19 dan ahli keluarga mereka serta menyediakan keperluan kepada petugas-petugas di peringkat kerajaan negeri yang terlibat dalam menangani krisis ini.