COVID-19:Premis di Bahagian Samarahan lengang


KOTA SAMARAHAN:Premis-premis di Bahagian Samarahan hari ini lengang berikutan kebimbangan orang ramai penularan wabak COVID-19.

Tinjauan Sarawak Update di Aiman Mall, Summer Mall dan premis makanan berhampiran mendapati peniaga mematuhi peraturan dengan tidak menjalankan operasi mereka.
Orang ramai yang mahu membeli makanan hanya dibenarkan membeli makanan secara tapau.
Bagi mempastikan golongan peniaga mematuhi arahan Pergerakan Kawalan Terhadap mulai 18 hingga 31 Mac pihak Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) melakukan pemantauan perintah kawalan pergerakan di sekitar premis di daerah Samarahan, Asajaya dan Sadong Jaya.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Bahagian Samarahan turut melakukan tinjauan ke Pusat Kuarantin yang dicadangkan di Bahagian Samarahan dan Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan di sekitar premis-premis komersial di daerah Samarahan.
Tinjauan itu turut dihadiri Pegawai Kesihatan Bahagian Samarahan, Dr Nur Fatimah Oh Abdullah, pihak Pejabat Residen,Pejabat Kesihatan,Majlis Perbandaran Kota Samarahan(MPKS), Pejabat Daerah,Polis,Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM).

Pengerusinya, Brahim Lumpu berkata, Bahagian Samarahan mencatat empat kes yang disahkan positif COVID-19 setakat ini.

Menurutnya, tiga kes dicatatkan di daerah Samarahan manakala satu lagi kes di daerah Simunjan.

"Bagi daerah Samarahan dua kes positif COVID-19 dikesan di Kampung Tanjung Bundong,manakala satu kes di Kampung Sungai Empit.

"Sebanyak 20 kes Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) COVID-19 setakat ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menjelas lanjut,katanya,daripada jumlah itu tujuh daripada mereka dikuarantin di Kolej Kesihatan Batu 7 manakala 13 lagi dikuarantin di rumah masing-masing.

"Seramai 177 mereka yang mempunyai konteks kes PUI turut diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

"Kita turut mengenal pasti premis kerajaan yang boleh dijadikan Pusat Kuarantin di Bahagian Samarahan iaitu di Institut Kemajuan Desa (INFRA), Institut Latihan Perindustrian(ILP), Institut Perguruan Tun Abdul Razak (IPTAR) dan Institut Tadbiran Awam Negara(INTAN),"katanya.

Beliau berkata,walaupun kes COVID-19 di Bahagian Samarahan masih dalam keadaan terkawal orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga penularan virus terbabit.

"Orang ramai harus mengikuti arahan dikeluarkan pihak berkuasa dalam menangani penularan COVID-19 yang menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat dunia pada masa ini.

"Ikutlah arahan yang ditetapkan supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah bagi mengurangkan risiko COVID-19,"katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel