Demi Sarawak, kata Ali Biju dan Willie Mongin
KUCHING: Keputusan untuk menyokong kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuat untuk memastikan Sarawak terus diwakili dengan baik dalam pentadbiran.
“Kehadiran kami akan memastikan Sarawak diwakili dengan baik. Suara Sarawak mesti diberi perhatian di bawah penyelarasan yang baharu ini dan kami berharap dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini dengan penuh berani dan keazaman,” kata Ahli Parlimen Saratok Ali Biju dan Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Ali dan Willie menegaskan, dengan semangat anak Sarawak, mereka akan terus memperjuang dan mengutamakan Sarawak.
“Kami akan menjadi suara anda dan jambatan yang menghubungkan kerajaan persekutuan,” kata mereka.
Ali dan Willie berkata, dalam situasi demikian mereka berdua memutuskan tindakan yang diambil adalah berdasarkan satu objektif iaitu kebajikan Sarawak.
Kami bertanggungjawab kepada pengundi di kawasan yang mengundi kami untuk membawa pembangunan di situ, ujar mereka.
“Kedua-dua kawasan parlimen kami adalah kawasan luar lar bandar yang amat memerlukan pembangunan. Kami tidak boleh melaksanakan pembangunan sekiranya memilih menjadi pembangkang.”
“Dalam kerajaan, kita perlu akses kepada semua mekanisme untuk memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dapat dicapai,” kata kedua-duanya dalam kenyataan itu lagi.
Mereka berdua berharap penjelasan itu dapat menjelaskan kekeliruan rakyat berhubung kemelut politik yang berlaku sejak seminggu lalu.