Geng seleweng LPG ditangkap


KLANG, 11 Mac -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya menumpaskan satu rangkaian penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) dengan menahan tiga lelaki dan merampas 429 tong gas dalam satu operasi hari ini.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata operasi yang dijalankan secara serentak di tiga premis berbeza di sekitar Kampung Sungai Pinang Dalam di sini, sekitar 2.30 petang itu hasil risikan pihaknya sejak dua bulan lepas.

Beliau berkata operasi di premis pertama iaitu pemborong LPG bersubsidi menemukan beberapa dokumen urusan jual beli meragukan yang menjurus kepada serbuan di lokasi kedua kerana disyaki menjalankan kegiatan memindahkan gas LPG daripada tong domestik ke tong industri.

“Siasatan awal mendapati pemborong LPG itu membekalkan tong gas bersubsidi 14 kilogram (kg) kepada premis kedua yang menjalankan kegiatan memindahkan LPG sejak tiga bulan lepas, manakala premis ketiga pula merupakan pengedar tong-tong gas diseleweng itu.

“Hasil pemeriksaan di premis kedua menemukan 194 tong gas 14kg (berisi), 59 tong gas 50kg yang kosong dan dua alat penimbang. Kesemua barangan ini termasuk sebuah lori dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan di premis ketiga yang disyaki pengedar gas LPG diseleweng pula, pihaknya merampas 176 tong gas 50kg dan 157 unit daripadanya telah diisi dipercayai untuk dijual kepada peniaga di kawasan sekitar.

Azman berkata kesemua rampasan termasuk sebuah lori itu bernilai keseluruhan RM138,000.

Katanya, tiga lelaki yang ditahan di premis kedua berumur lingkungan 30-an, merupakan seorang warga tempatan serta dua warga asing sedang disiasat peranan mereka dalam rangkaian penyelewengan LPG bersubsidi itu mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam pada itu, Azman berkata sebanyak 215 kes penyelewengan LPG bersubsidi direkodkan sepanjang tahun lepas melibatkan sitaan bernilai RM3.2 juta dan pihaknya terus komited untuk membanteras kegiatan tersebut.

“Kami amat mengalu-alukan penyaluran maklumat berkaitan daripada masyarakat supaya kegiatan penyelewengan ini dapat dibendung. Para peniaga pula dinasihatkan supaya membeli gas LPG industri daripada pengedar yang sah walaupun ada pihak menjualnya pada harga lebih rendah.

“Ini bagi mengelakkan peniaga tertipu dengan pembelian mereka kerana biasanya, tong-tong LPG yang diseleweng walaupun dijual murah, namun isi kandungannya juga dikurangkan daripada yang sepatutnya,” katanya.
--Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel