Hanya seorang boleh keluar rumah


KUALA LUMPUR: Hanya seorang wakil atau ketua keluarga dibenarkan keluar dari rumah sekiranya ada keperluan untuk membeli barangan keperluan atau mendapatkan ubat-ubatan.

Menteri Kanan Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata mereka yang terpaksa keluar rumah untuk urusan penting lebih daripada seorang, perlu memberi penjelasan kepada pihak polis dan polis akan menggunakan budi bicara untuk memberi kebenaran (Video) 

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya, berkata, kalau boleh orang ramai perlu mengurangkan pergerakan demi keselamatah keluarga dan orang ramai.

“Dari segi dasar, semua pihak perlu mematuhi perintah kawalan pergerakan dan keluar hanya bila perlu.

“Sekiranya terpaksa keluar, mereka perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu mencuci tangan dan mengikut penjarakan sosial (social distancing),” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu katanya, orang ramai yang sengaja tidak mengisytiharkan diri sebagai kontak rapat dengan mereka yang dijangkiti Covid-19 ketika membuat saringan di klinik dan hospital kerajaan atau swasta, boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau berkata orang ramai bertanggungjawab untuk memaklumkan perkara itu kepada petugas kesihatan seperti doktor dan jururawat supaya petugas barisan hadapan itu tidak terdedah dengan jangkitan virus berkenaan.

“Pastikan anda isytiharkan sekiranya ada kontak rapat dengan orang yang positif (COVID-19) supaya ‘frontliners’ (petugas barisan hadapan) tidak terdedah dengan jangkitan.

“Polis boleh tangkap mereka yang gagal untuk mengisytiharkan tentang perkara itu dan boleh dikenakan tindakan denda dan sebagainya,” katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel