Hilang lebih seminggu, ditemui selamat
KUALA TERENGGANU, 29 Mac -- Enam nelayan dari Kuala Terengganu yang dilaporkan hilang di laut sejak 20 Mac lalu ditemui selamat di perairan Pahang, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata kesemua nelayan itu ditemui pada jam 3.35 petang, 44 batu nautika dari perairan Pahang.
"Penemuan mereka telah dimaklumkan oleh Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Pahang dan susulan maklumat tersebut, bot Maritim Penggalang 19 digerakkan ke lokasi dan semasa merapat ke bot nelayan terbabit, didapati tekong serta awak-awak berada dalam keadaan selamat.
"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dimaklumkan bot mereka dihanyutkan sehingga perairan Pahang disebabkan mengalami kerosakan enjin. Berikutan pengesahan tersebut, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 7.30 malam tadi,” katanya, dalam satu kenyataan, di sini. hari ini.
Katanya, bot tersebut serta awak-awak telah ditunda oleh bot nelayan lain dan selamat sampai ke jeti Kuala Kemaman kira-kira jam 10 malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan APMM telah mengaktifkan SAR mencari enam nelayan, dikenali sebagai Mohd Yusof Awang, 45; Abdul Gani Sulong, 60; Awang Salleh, 40; Anuar Shafie, 30, dan dua awak-awak warga negara Thailand berusia sekitar 40-an, yang tidak pulang selepas keluar menangkap ikan di laut.
-- Bernama
Gambar hiasan