Istiadat penganugerahan Darjah Kebesaran Sarawak ditangguh
KUCHING, 16 Mac -- Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada 25 Mac ini ditangguh ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak Datuk Mustapa Han, dalam kenyataan hari ini, berkata penangguhan itu dibuat sebagai mematuhi arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak semalam supaya semua acara rasmi kerajaan dan awam melibatkan lebih 50 peserta ditangguh buat sementara waktu.
“Majlis raptai pada hari Selasa, 24 Mac 2020, turut dibatalkan. Adalah diharapkan agar semua penerima yang telah dijemput untuk hadir ke majlis-majlis ini mengambil maklum arahan penangguhan ini,” katanya.
Sementara itu, beberapa acara melibatkan anggota Kabinet negeri turut dibatalkan sejak semalam berikutan arahan JPBN Sarawak yang bertujuan untuk mengekang jangkitan COVID-19.
Sebelum itu, beberapa acara antarabangsa yang dijadualkan di antara Mac dan Julai tahun ini di Sarawak turut ditangguh atas sebab-sebab sama.
-- Bernama