Kastam Sarawak rampas 2kg syabu
BINTULU:Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas
satu bungkusan parcel yang mengandungi 2,041 gram dadah jenis syabu di terminal bas di sini.
Tangkapan pada jam 9 malam, Selasa lalu itu dilakukan JKDM Cawangan Narkotik Kuching dengan kerjasama Cawangan Penguatkuasaan Bintulu
membabitkan anggaran nilai sebanyak RM102,050.
Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata,
seorang lelaki berusia 27 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
"Lelaki terbabit telah menuntut satu parcel yang disyaki mengandungi dadah di terminal bas Bintulu.
"Dadah ini dihantar dengan menggunakan perkhidmatan kargo bas antara bandar dari Miri ke Bintulu,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,dadah terbabit dipercayai untuk diedar dan dijual di pasaran tempatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Halimah memohon kerjasama orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran di semua negeri.
"Pihak JKDM juga memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,"katanya.