Kawalan Dua Minggu Dilanjut, Jika Gagal
KUALA LUMPUR, 18 Mac -- Kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sekiranya tempoh dua minggu ini gagal mengekang penularan wabak COVID-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini.
Perdana Menteri berharap Malaysia bebas dari COVID-19 selepas habis tempoh dua minggu perintah itu berkuat kuasa bermula hari ini.
“Kerajaan berharap selepas habis tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom berjaya diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas dari COVID-19,” katanya dalam perutusan yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen tempatan, malam ini.
“Jika dalam tempoh ini kita belum berjaya sepenuhnya, kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan,” kata Muhyiddin.
Sehubungan itu, beliau menekankan betapa pentingnya rakyat mengasingkan diri dan keluarga dari terdedah kepada virus COVID-19 dengan berada di rumah.
Beliau menerangkan mengapa tempoh perintah itu dibuat selama dua minggu kerana COVID-19 mempunyai hayat inkubasi dua minggu.
“Kita hendak putuskan rantaian jangkitan. We want to break the chain of infection. Supaya jumlah orang yang dijangkiti wabak COVID-19 ini dapat dikurangkan,” katanya.
Dalam perutusan itu, perdana menteri berulang kali merayu kepada rakyat supaya duduk di rumah dengan tidak menggunakan tempoh dua minggu itu untuk balik kampung, pergi bercuti dan melepak dengan kawan-kawan.
“Dalam tempoh dua minggu ini, duduklah diam-diam di rumah. Stay at home (Duduklah di rumah),” kata Muhyiddin.
Perdana Menteri turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan tempoh perintah kawalan itu untuk melepak di restoran, kopitiam, pusat hiburan atau mana-mana tempat yang boleh mendedahkan diri kepada jangkitan wabak COVID-19.
Selain itu, Muhyiddin meminta agar perhimpunan melibatkan ramai orang seperti kenduri kahwin dibatal atau ditangguhkan.
“Jadi, kepada ibu bapa pengantin saya minta tolong sangat-sangat batalkan kenduri. Akad nikah boleh dibuat, tetapi majlis kenduri jangan buat dulu. Tangguhkanlah. Apabila keadaan telah bertambah baik, buatlah kenduri untuk anak kesayangan.
“Saya fikir anak tuan-tuan dan saudara-mara yang dijemput hadir faham masalah besar sedang kita hadapi ini. Jangan malu, jangan segan.
Beritahulah tetamu yang telah dijemput bahawa kenduri kahwin yang dirancang terpaksa dibatalkan kerana masalah COVID-19. Saya percaya mereka akan berterima kasih kepada tuan-tuan kerana prihatin tentang kesihatan tetamu,” katanya.
Beliau berkata langkah pencegahan itu penting untuk dilakukan bersama-sama bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Sebanyak 117 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 790 kes.
Muhyiddin menambah perkembangan itu bukanlah sesuatu yang menggembirakan, dan langkah tegas perlu diambil untuk membendung wabak tersebut.
-- BERNAMA