Kedai makan mesti tutup jam 8 malam
KUCHING: Semua gerai menjual makanan dan minuman, kopi tiam kedai minum dan kedai makan diarah untuk ditutup mulai jam 8 malam setiap hari.
Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datu Antonio Kahti Galis berkata, penghadan waktu operasi sepanjang perintah kawalan pergerakan perlu dipatuhi sehingga ke suatu masa yang akan dimaklumkan kemudian.
"Pihak majlis hendaklah memastikan arahan masa penutupan ini dipatuhi," katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, restoran dan kedai makan boleh meneruskan operasi mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
Bagaimanapun katanya, pelanggan hanya dibenarkan membungkus atau membuat permintaan penghantaran makanan ke tempat masing-masing.
"Kita galakkan pemilik restoran membuat perkhidmatan penghantaran bagi memudahkan orang awam," katanya.
Menurutnya, jarak sosial yang selamat antara individu merupakan kunci utama pelaksanaan perintah tersebut.
"Pasar malam tidak dibenarkan beroperasi kerana ia mengundang ramai orang," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa bekalan makanan mencukupi bagi menampung keperluan rakyat.
"Kita arahkan peniaga segera menambah bekalan keperluan semasa," katanya.